Khamis, 1 Oktober 2020 | 7:06am
Seorang pelajar diambil sampel swab untuk oleh seorang pegawai perubatan Pusat Kesihatan Primer Jhargaon di sebuah sekolah di daerah Morigaon, Assam, India. - Foto EPA
Seorang pelajar diambil sampel swab untuk oleh seorang pegawai perubatan Pusat Kesihatan Primer Jhargaon di sebuah sekolah di daerah Morigaon, Assam, India. - Foto EPA

COVID:19: Sekolah, pawagam dibuka semula di India

NEW DELHI: Sekolah, pawagam dan kolam renang akan dibenarkan dibuka semula di India selepas ditutup sejak berbulan-bulan susulan COVID-19, meskipun pakar memberi amaran negara itu mencatat jumlah paling ramai dijangkiti wabak itu di dunia, kata Kementerian Dalam Negerinya.

India, yang mempunyai 1.3 billion penduduk mencatatkan lebih daripada 6.2 juta kes COVID-19 setakat ini, iaitu kedua selepas Amerika Syarikat yang dilaporkan lebih 97,000 kematian akibat pandemik itu.

Bagaimanapun, negara itu secara beransur-ansur membuka kembali kegiatan ekonomi dalam usaha untuk menyelamatkan ekonominya yang semakin terjejas teruk berikutan sekatan dikenakan akibat wabak itu, dengan berjuta-juta penduduk termasuk orang miskin kehilangan mata pencarian.

Kelas untuk pelajar berusia 14 hingga 17 tahun dibenarkan disambung semula di beberapa negeri, pada minggu lalu.

"Untuk pembukaan kembali sekolah dan institusi itu (negeri dan wilayah) kerajaan memberikan fleksibiliti untuk mereka membuat keputusan selepas 15 Oktober ini... secara berperingkat.

"Pembelajaran secara dalam talian dan jarak jauh harus digalakkan dan pelajar tidak boleh dipaksa untuk menghadiri kelas," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Institusi pendidikan tinggi masih ditutup, walaupun sebilangan pelajar dan penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi dibenarkan kembali ke makmal.

Pawagam di negara itu yang begitu obses dengan filem keluarannya akan dibenarkan dibuka semula dengan kapasiti 50 peratus penonton, manakala kolam renang dapat digunakan untuk latihan olahraga.

Penerbangan komersial antarabangsa masih digantung dengan perkhidmatan yang terhad, iaitu hanya membenarkan operasi bagi penerbangan warganegara tertentu untuk pulang ke negara asal mereka.

Kereta api, penerbangan domestik, pasar dan restoran dibuka semula atau beroperasi semula, dengan beberapa batasan.

Pada mulanya coronavirus melanda negara itu termasuk di hab kewangan di Mumbai dan New Delhi, sebelum menular ke beberapa wilayah lain .- AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X