Rabu, 30 September 2020 | 10:06pm
Bekas Timbalan Perdana Menteri India, Lal Krishna Advani (kanan) dan bekas Presiden BJP, Murli Manohar Joshi (kiri) antara yang dibebaskan dalam kes merobohkan Masjid Babri. - Foto AFP
Bekas Timbalan Perdana Menteri India, Lal Krishna Advani (kanan) dan bekas Presiden BJP, Murli Manohar Joshi (kiri) antara yang dibebaskan dalam kes merobohkan Masjid Babri. - Foto AFP

Barisan pemimpin kanan BJP bebas tuduhan musnah masjid bersejarah

NEW DELHI: Beberapa pemimpin kanan parti pemerintah di India dibebaskan daripada tuduhan konspirasi merobohkan masjid beberapa dekad lalu, yang mencetuskan rusuhan sehingga mengorbankan 2,000 nyawa.

Puluhan ribu penyokong parti nasionalis, Parti Bharatiya Janata (BJP) dan beberapa kumpulan agama Hindu bersenjatakan kapak serta lembing memusnahkan masjid Babri, tinggalan bersejarah kurun ke-16 di Ayodhya, pada 1992.

Rusuhan terbabit dikatakan diketuai pemimpin kanan BJP, termasuk bekas timbalan perdana menteri India, Lal Krishna Advani dan bekas presiden parti, Murli Manohar Joshi.

Mereka kemudian dituduh terbabit dalam konspirasi memusnahkan masjid, dengan lebih 30 pemimpin BJP berdepan dakwaan konspirasi jenayah, keganasan dan mencetuskan rusuhan.

Bagaimanapun, satu sidang mahkamah khas di Lucknow, utara India hari ini memutuskan bahawa pendakwa gagal membuktikan kesemua tertuduh itu bersalah.

"Struktur itu dimusnahkan atas elemen anti sosial dan kesemua pemimpin berkenaan cuba menghentikan perbuatan memusnahkan masjid itu.

"Audio yang kedengaran juga tidak jelas. Kesemua tertuduh dengan ini dibebaskan," kata sidang terbabit. - AFP

Berita Harian X