Rabu, 30 September 2020 | 9:24pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Sri Lanka haramkan penyembelihan lembu

COLOMBO: Kerajaan Sri Lanka mahu melaksanakan larangan penyembelihan lembu tidak lama lagi, dalam satu tindakan yang dilihat bertujuan menunjukkan sokongan terhadap pengaruh Buddha dalam kalangan parti pemerintah.

Menurut kerajaan, pengharaman itu akan diteruskan selepas mengenal pasti kaedah yang boleh diguna pakai bagi menjaga kebajikan haiwan ternakan terbabit apabila sudah tua.

Di negara jiran India, larangan penyembelihan lembu oleh kerajaan nasionalis Hindu menyebabkan haiwan itu yang sudah tua berkeliaran di sekitar jalan raya, sekali gus mengganggu lalu lintas.

Sri Lanka mengalami penurunan pemakanan daging lembu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya kerana penganut agama Hindu dan Buddha tidak memakan dagingnya atas faktor agama.

Industri terbabit menguncup sejak beberapa tahun lalu, dengan hanya 29,870 tan daging dihasilkan tahun lalu, berbanding 38,700 tan sedekad sebelumnya.

Sektor berkenaan dikuasai masyarakat beragama Islam, yang menyumbang 10 peratus daripada 21 juta penduduk Sri Lanka.

Sebahagian 70 peratus penduduk negara itu beragama Buddha manakala 12.5 peratus lagi adalah penganut agama Hindu.

Jurucakap Kementerian Media dan Maklumat, Keheliya Rambukwella, berkata sebaik saja skim penjagaan itu dilaksanakan, penyembelihan lembu akan diharamkan di seluruh negara.

Bagaimanapun, import daging lembu yang berjumlah hanya 116 tan tahun lalu, tetap dibenarkan. - AFP

Berita Harian X