Rabu, 30 September 2020 | 9:06pm
Suspek, Takahiro Shiraishi, menutup mukanya ketika dibawa ke mahkamah di Tokyo. - Foto AFP
Suspek, Takahiro Shiraishi, menutup mukanya ketika dibawa ke mahkamah di Tokyo. - Foto AFP

"Pembunuh Twitter' Jepun dakwa mangsa rela dibunuh

TOKYO: Seorang lelaki Jepun digelar 'pembunuh Twitter' kerana menggunakan media sosial itu untuk mengumpan mangsanya, semalam mengaku di mahkamah bahawa dia membunuh sembilan orang, lapor media tempatan.

Namun, peguam Takahiro Shiraishi, 29, berhujah bahawa tuduhan patut dikurangkan kerana mangsanya, yang ada kecenderungan membunuh diri, rela untuk dibunuh.

Shiraishi, yang turut dituduh mengerat badan mangsa sebelum menyimpannya dalam kotak sejuk, tidak mencabar sembilan tuduhan bunuh itu dan berkata 'semuanya adalah benar', lapor agensi berita NHK.

Menurut laporan media lagi, dia juga menghadapi tuduhan rogol.

Shiraishi dituduh menggunakan Twitter untuk menghubungi mangsa berusia antara 15 dan 26 tahun, yang meluahkan hasrat mahu membunuh diri di laman sosial dan memberitahu mereka dia boleh membantu, malah sanggup mati bersama mereka.

Jika didapati bersalah atas tuduhan membunuh, Shiraishi menghadapi hukuman gantung sampai mati, seperti mana ditetapkan di bawah undang-undang Jepun.

Bagaimanapun, peguamnya mahu tuduhan terhadapnya dikurangkan kepada 'membunuh dengan kerelaan mangsa', yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga tujuh tahun.

Dalam satu temubual dengan akhbar Mainichi Shimbun, Shiraishi berkata dia tidak bersetuju dengan peguamnya dan akan memberitahu pihak pendakwa bahawa dia 'membunuh tanpa kerelaan mangsa'.

"Terdapat kesan lebam di bahagian belakang kepala mangsa, bermakna mangsa tidak rela dan saya melakukannya supaya mangsa tidak melawan," katanya dalam temu bual yang disiarkan semalam.

Shiraishi ditahan tiga tahun lalu apabila polis sedang menyiasat kes kehilangan seorang wanita berusia 23 tahun yang difahamkan menghantar ciapan Twitter mengatakan mahu membunuh diri.

Selepas wanita berkenaan hilang, abangnya mendapat akses terhadap akaun Twitter mangsa dan menemui ciapan balas yang menimbulkan syak.

Polis menemui senario mengerikan di sebalik pintu rumah Shiraishi pada pagi hari sambutan Halloween pada 2017.

Siasatan lanjut mendapati sembilan mayat yang sudah dikerat dan kira-kira 240 serpihan tulang disimpan dalam kotak sejuk serta kotak pertukangan, yang ditabur najis kucing bagi menyembunyikan bahan bukti itu.

Shiraishi memberitahu Mainichi Shimbun bahawa dia tidak menjangkakan akan ditangkap dan bercakap sombong kerana tidak dikenal pasti sehingga pembunuhan terakhirnya.

Semalam, lebih 600 orang membanjiri 13 barisan kerusi di galeri awam mahkamah untuk mengikuti perbicaraan hari pertama, menurut NHK.

Jepun merekodkan kes bunuh diri tertinggi dalam kalangan tujuh negara perindustrian dunia dengan lebih 20,000 orang membunuh diri setiap tahun tetapi jumlah itu kini berkurangan selepas mencapai kemuncaknya pada 2003. - AFP

Berita Harian X