Sabtu, 26 September 2020 | 11:47am
Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan Maya APEC (AVFMM) secara dalam talian semalam.
Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan Maya APEC (AVFMM) secara dalam talian semalam.

Menteri-Menteri Kewangan APEC bincang pembangunan ekonomi secara dalam talian

PUTRAJAYA: Mesyuarat Proses Menteri-Menteri Kewangan Maya APEC (AVFMM) diadakan secara dalam talian, semalam, menjadi platform untuk berkongsi dan bertukar idea mengenai intervensi fiskal dan kewangan bagi mengurangkan impak ekonomi, berikutan pandemik COVID-19 ,sekaligus membangunkan ekonomi lebih berdaya tahan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika mempengerusikan AVFMM, berkata APEC adalah landasan sangat baik untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai pembangunan ekonomi serta kewangan Asia-Pasifik dan isu sosio-ekonomi nasional dan serantau.

"Ketika pandemik mengancam sistem kesihatan dan ekonomi di seluruh dunia, anggota ekonomi APEC bertindak dengan melaksanakan pelbagai langkah untuk mengatasi impak pandemik," katanya dalam ucapan pembukaan AVFMM, di sini, malam tadi.

Beliau berharap, pertemuan itu akan mengutarakan pelbagai cadangan dan buah fikiran untuk kita terus menyokong ekonomi masing-masing dalam menangani pandemik COVID-19.

AVFMM dihadiri oleh menteri kewangan APEC, wakil bank pusat, pengerusi Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan 2020, pengarah eksekutif APEC dan pegawai kanan kewangan anggota APEC.

Turut hadir ialah wakil Bank Pembangunan Asia, Bank Pembangunan Antara Amerika, Tabung Kewangan Antarabangsa, Kumpulan Bank Dunia, Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi, ABAC, Unit Sokongan Dasar APEC dan Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik.

Image

Falsafah kemakmuran bersama

Tema AVFMM kali ini  ialah Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Kemakmuran Bersama yang Berdaya Tahan: Keterubahan, Keutamaan, Kemajuan yang menggambarkan betapa pentingnya falsafah kemakmuran bersama.

Kesemua anggota APEC telah bekerjasama sebagai satu gabungan dan akan meneruskan kerjasama ini dengan penuh keikhlasan, secara bersepadu dan komprehensif serta berlandaskan prinsip tanggungjawab bersama.

Barisan perwakilan tertinggi daripada AVFMM turut mengeluarkan Kenyataan Bersama Menteri-Menteri dalam mesyuarat sama.

Kenyataan bersama itu menggariskan bagaimana APEC secara keseluruhan menangani pandemik COVID-19 melalui langkah fiskal dan kewangan yang bertujuan untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian masyarakat serta perniagaan di negara masing-masing.

APEC juga menyedari digitalisasi berperanan penting dalam memastikan integrasi dan keterangkuman kewangan, serta perlunya ada ketersediaan kewangan melalui pembiayaan dan insurans risiko bencana.

Menurut Tengku Zafrul, Kenyataan Bersama Menteri-Menteri itu membuktikan semangat kerjasama serantau antara anggota APEC serta berharap kerjasama dan komitmen tetap berterusan antara semua anggota APEC kelak.

Tengku Zafrul turut mengalu-alukan New Zealand selaku Pengerusi seterusnya bagi Proses Menteri-Menteri Kewangan APEC 2021 yang akan datang. 

"Sebagai tuan rumah tahun ini, Malaysia bersedia untuk menghulurkan bantuan dan sokongan kepada Proses Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan pada tahun hadapan," katanya.

Sebelum mesyuarat AVFMM, Tengku Zafrul juga mempengerusikan Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), dengan Laporan ABAC 2020 bertajuk Memacu Pemulihan dan Membentuk Semula Perkhidmatan.

Berita Harian X