Rabu, 26 Ogos 2020 | 12:53pm
30 maut banjir kilat di bandar Charikar, utara Afghanistan. - Foto Google
30 maut banjir kilat di bandar Charikar, utara Afghanistan. - Foto Google

46 maut akibat banjir kilat

KABUL: Sekurang-kurangnya 46 orang terbunuh dan ratusan rumah musnah akibat banjir kilat ketika hujan lebat melanda sebuah bandar di utara ibu negara Afghanistan, kata pegawai, hari ini.

Operasi menyelamat sedang dilakukan untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap di dalam runtuhan bangunan yang runtuh di Charikar, ibu kota provinsi Parwan, yang dilanda hujan lebat semalaman.

"Terdapat dua keluarga di kawasan kejiranan kami yang masih berada di bawah runtuhan," kata Abdul Majid, seorang penduduk Charikar kepada rangkaian televisyen Tolo News.

"Kami memerlukan lebih banyak pekerja penyelamat untuk membantu kami."

Kementerian Kesihatan Awam dalam satu kenyataan berkata, sekurang-kurangnya 46 orang terbunuh di Parwan, dan kira-kira 80 orang cedera.

Mereka yang terbunuh kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak.

Wahida Shahkar, jurucakap gabenor wilayah itu, menyatakan angka kematian sebanyak 66 orang dengan lebih 90 orang cedera dan lebih 500 rumah musnah.

"Kami mempunyai laporan bahawa masih ada yang terperangkap di bawah runtuhan," kata Tamim Azimi kepada AFP.

Setiap tahun, banjir kilat di Afghanistan mengorbankan ramai nyawa dan memusnahkan harta benda terutama di kawasan luar bandar.

Awal bulan ini, 16 terbunuh termasuk 15 kanak-kanak dan puluhan rumah musnah dalam banjir kilat yang melanda kampung di timur wilayah Nangarhar. - AFP

Berita Harian X