Ahad, 23 Ogos 2020 | 10:17pm
Ribut tropika Laura yang melanda Guayama, Puerto Rico semalam dijangka membadai Haiti hari ini. - Foto AFP
Ribut tropika Laura yang melanda Guayama, Puerto Rico semalam dijangka membadai Haiti hari ini. - Foto AFP

China, Haiti keluarkan amaran ribut

BEIJING: Balai cerap nasional China hari ini memperbaharui amaran biru bagi Taufan Bavi yang dijangka membawa angin kencang membadai selatan dan tenggara China.

Taufan itu, yang kelapan tahun ini, bertambah kuat sejak pagi semalam dan dikesan di perairan 390 kilometer (km) dari barat bandar Naha di wilayah Okinawa, Jepun pada jam 5 pagi tadi, dengan kekuatan angin maksimum 100.8 km sejam.

Pusat Meteorologi Nasional (NMC) menjangkakan taufan itu bergerak ke arah timur laut pada kelajuan 10 km hingga 15 km sejam, sebelum menuju ke arah timur laut semenanjung Liaodong bermula Rabu lalu.

Menurut NMC, bermula pagi ini hingga esok, angin kencang dijangka membadai beberapa kawasan pantai di beberapa rantau dan wilayah, termasuk Taiwan, Fujian dan Zhejiang.

China menggunakan sistem amaran cuaca berwarna empat peringkat, dengan merah bagi cuaca paling buruk, diikuti oren, kuning dan biru.

Sementara itu di Haiti, pihak berkuasa meminta penduduk bersedia menghadapi ribut tropika Laura, yang dijangka membawa hujan lebat yang mengakibatkan banjir dan mungkin menjadi taufan sebelum menghala ke Amerika Syarikat (AS).

Musim ribut Atlantik yang lazimnya berlarutan sehingga November ini, mungkin antara yang terburuk dengan Pusat Taufan Kebangsaan AS meramalkan sekurang-kurangnya 25 ribut termasuk Laura, ribut ke 12.

Negara Caribbean yang berkongsi kepulauan Hispaniola dengan Republik Dominica itu berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak Jumaat lalu.

Laura bertambah kuat sejak kelmarin ketika meredah Puerto Rico dan wujud kemungkinan satu lagi ribut iaitu Marco, mungkin memasuki kawasan teluk sebagai taufan, kali pertama dua taufan berlaku dalam kawasan teluk. - AFP

Berita Harian X