Sabtu, 22 Ogos 2020 | 7:47pm
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un (kiri) dan Kim Yo-jong. - Foto AFP
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un (kiri) dan Kim Yo-jong. - Foto AFP

Jong-un kongsi kuasa dengan adik tadbir Korea Utara

SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dilaporkan akan berkongsi kuasa dengan adiknya, Kim Yo-jong, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai tahap kesihatan pemimpin utama itu.

Spekulasi itu memuncak apabila beliau tidak menghadiri sambutan ulang tahun datuknya, Kim II Sung iaitu presiden dan pengasas Korea Utara pada 15 April lalu, yang menjadi acara terpenting dalam kalendar politik negara itu.

Jong-un tidak muncul dalam khalayak ramai sejak mempengerusikan mesyuarat bersama Politburo Parti Pekerja pada 11 April lalu.

Kerajaan Korea Selatan sebelum ini tidak memandang serius laporan berhubung tahap kesihatan pemimpin Korea Utara itu, yang dikatakan berada dalam keadaan teruk susulan satu prosedur kesihatan.

Dalam perkembangan terbaru ini, difahamkan Yo-jong diberi portfolio mengendalikan semua urusan am termasuk bertanggungjawab dalam hubungan luar dengan Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

Perkhidmatan Risikan Kebangsaan (NIS) di Seoul mendedahkan keputusan untuk memindahkan lebih banyak kuasa kepada wanita berusia 32 tahun itu jelas menunjukkan beliau sebagai pemimpin kedua tertinggi di Pyongyang.

Bagaimanapun, anggota jawatankuasa NIS, Ha Tae-keung, berkata Jong-un masih memegang kuasa mutlak untuk menentukan sebarang keputusan muktamad.

"Keputusan itu menunjukkan bahawa Jong-un tidak menggunakan sistem kepimpinan bersama seperti yang diamalkan Parti Komunis di China.

"Sebaliknya, perkongsian kuasa ini mengikut gaya kepimpinan tersendiri Korea Utara pada masa ini," katanya.

Beberapa pegawai atasan lain turut diberikan kuasa lebih luas, dengan harapan ia dapat mengurangkan tekanan kepada Jong-un yang sudah memerintah negara itu hampir sembilan tahun.

Pendekatan itu juga secara tidak langsung melindungi Jong-un daripada dipersalahkan sepenuhnya jika kerajaan berdepan sebarang tuduhan.

Kelmarin, media tempatan melaporkan Jong-un memberitahu pemimpin parti pemerintah, Parti Pekerja, bahawa Pyongyang sedang berdepan cabaran luar jangka yang tidak dapat dielakkan sehingga agenda pembangunan terpaksa ditangguhkan.

Pelbagai isu seperti sekatan antarabangsa, banjir dan pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada ekonomi di Korea Utara, yang dijangka mengalami penguncupan paling buruk dalam tempoh lebih dua dekad. - AGENSI

Berita Harian X