Khamis, 6 Ogos 2020 | 9:34pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Disahkan tidak bersalah selepas 27 tahun dipenjara

BEIJING: Sebuah mahkamah China membatalkan sabitan hukuman bunuh terhadap seorang lelaki yang sudah menghabiskan 27 tahun di penjara kerana dituduh melakukan jenayah itu.

Zhang Yuhuan, 52, dipenjara kerana membunuh dua budak lelaki pada 1993, namun beliau kerap menyatakan diseksa pihak polis dan dipaksa mengaku bersalah.

Selepas menjalani hukuman hampir tiga dekad, sebuah mahkamah di timur China membebaskan Zhang Selasa lalu, dengan alasan tiada bukti mencukupi untuk menyokong sabitan hukumannya.

"Selepas meneliti bahan bukti yang kami peroleh, ia tidak mencukupi bagi disabitkan kepada hukuman terhadap Zhang. Jadi, kami menyatakan bahawa Zhang tidak bersalah," kata Mahkamah Tinggi Jiangxi dalam satu kenyataan.

Zhang adalah tahanan paling lama menjalani hukuman penjara di China, lapor agensi berita Xinhua.

Dia pada awalnya dijatuhkan hukuman mati pada 1995 tetapi ditukar kepada hukuman penjara seumur hidup selepas dia menjalani hukuman dua tahun penjara.

Selepas beberapa rayuannya tidak berjaya, mahkamah Jiangxi pada Mac tahun lalu akhirnya bersetuju untuk menyemak semula kes berkenaan.

Ia kemudian menyimpulkan bahawa tidak mungkin untuk membuktikan karung dan tali yang dijumpai di lokasi pembunuhan dan dikenal pasti sebagai alat digunakan dalam jenayah itu, dapat dikaitkan dengan Zhang.

Selepas bertemu kembali keluarganya, Zhang menikmati sajian nasi pulut dan telur rebus sebagai makanan pertamanya sebagai orang bebas, selepas hampir tiga dekad dipenjara, lapor Xinhua.

Mahkamah turut meminta maaf kepada Zhang atas kekhilafan itu dan peguam Zhang, Wang Fei, memberitahu China Daily bahawa anak guamnya akan menuntut ganti rugi.

"Kami juga bercadang untuk meminta mereka yang bertanggungjawab terhadap kekhilafan ini dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.

Ramai pemerhati antarabangsa kerap menyuarakan kebimbangan mengenai proses pendakwaan di China, di mana mahkamah mempunyai kadar sabitan sekitar 99 peratus. - AGENSI.

Berita Harian X