Rabu, 22 Julai 2020 | 2:28pm
Masjidil Haram ditutup Hari Wukuf dan Aidiladha bagi menghalang penularan COVID-19. - Foto AFP
Masjidil Haram ditutup Hari Wukuf dan Aidiladha bagi menghalang penularan COVID-19. - Foto AFP

Masjidil Haram ditutup Hari Wukuf, Aidiladha

MAKKAH: Masjidil Haram, di sini, akan ditutup pada Hari Wukuf dan Aidiladha, demi keselamatan jemaah serta persiapan ibadat haji tahun ini, kata pegawai keselamatan Saudi pada Selasa.

Sambil mengumumkan persediaan tahap pertama menjelang ibadat haji sudah selesai, Jeneral Muhammad Al-Ahmadi berkata, komander bertanggungjawab untuk keselamatan Masjidil Haram di Makkah akan sentiasa mengutamakan dan melindungi jemaah.

"Fokus utama tahun ini adalah aspek kesihatan dalam keadaan pandemik COVID-19. Selebihnya tahap yang lain akan dilaksanakan pada hari-hari mendatang," katanya.

Beliau juga berkata, peraturan baharu itu dibuat bagi mengawal kemasukan dan keluar jemaah ke Masjidil Haram, selain memastikan penjarakan sosial dan keberkesanan langkah terhadap COVID-19, lapor agensi berita Arab News.

Susulan itu, arah perjalanan untuk tawaf mengelilingi Kaabah ditentukan termasuk menuju ke bukit Safa dan Marwah sudah dibuat selain hanya mereka yang mempunyai kebenaran rasmi dibenarkan memasuki Masjidil Haram.

Disebabkan pandemik itu, Masjidil Haram ditutup kepada jemaah untuk hari Wukuf dan Aidiladha.

"Keputusan menangguhkan solat di Masjidil Haram termasuk kawasan luarnya akan diteruskan. Kami menggalakkan penduduk Makkah berbuka puasa pada Hari Wukuf di rumah masing-masing," katanya.

Pusat kawalan di Makkah yang terletak di Mina dan Muzdalifah akan beroperasi sepenuhnya. Laluan masuk ke kota Makkah akan dikawal pasukan keselamatan hingga 24 jam bagi menghalang orang memasukinya tanpa izin atau akses.

Ketua Umum Urusan Dua Masjid Suci, Dr Abdulrahman Al-Sudais pula berkata, pengalaman lebih 80 tahun mengurus jutaan jemaah haji sebelum ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjamin keselamatan dan kesihatan bakal haji tahun ini.

Dalam pertemuan secara maya meninjau operasi Arab Saudi untuk musim haji, beliau berkata, bacaan khutbah Arafah akan diterjemahkan ke dalam 10 bahasa termasuk bahasa Cina dan Russia, selain terjemahan bahasa Inggeris di saluran al-Quran dan bahasa Perancis di saluran Sunnah Nabi.

Pengaturan khas juga akan dibuat bagi penghantaran kelambu Kaabah atau Kiswah pada Rabu oleh Gabenor Makkah, Putera Khalid Al-Faisal, sejajar dengan langkah-langkah untuk menghentikan penyebaran COVID-19, kata Al-Sudais. - AGENSI

Berita Harian X