Jumaat, 3 Julai 2020 | 6:17pm
Seorang penunjuk perasaan membantah undang-undang keselamatan baharu di Hong Kong meletakkan batu bata di atas jalan raya ketika melakukan protes. - Foto AFP
Seorang penunjuk perasaan membantah undang-undang keselamatan baharu di Hong Kong meletakkan batu bata di atas jalan raya ketika melakukan protes. - Foto AFP

Rakyat Hong Kong padam segala rekod media sosial

HONG KONG: Warga tempatan bertindak memadamkan akaun media sosial dan rekod perbualan dalam talian kerana khuatir menjadi sasaran undang-undang keselamatan baharu yag digubal China.

Mereka juga meningkatkan privasi siber memandangkan China sudah menguatkuasa undang-undang terbabit sejak Selasa lalu, sekali gus menakutkan orang ramai untuk terlalu terbuka dan mula membuatkan penapisan kendiri.

Kerajaan China merahsiakan perincian kandungan hingga ke saat akhir selepas lebih setahun berdepan protes ganas di pusat kewangan yang semakin lantang menyuarakan bantahan terhadap pentadbiran Beijing.

Pemerhati politik berpendapat undang-undang itu mahu haramkan tuntutan kemerdekaan dengan sekelip mata manakala penganalisis undang-undang memberi amaran terhadap kandungan akta merangkumi bidang kuasa yang luas itu.

Kumpulan hak asasi pula menyifatkan pengharaman pembelotan, pemisahan, keganasan dan bersekongkol dengan kuasa asing sebagai cubaan menyekat kebebasan sivil serta hak bersuara.

Justeru, walaupun China menjamin kebebasan politik, kebanyakan penduduk Hong Kong nekad memadamkan apa saja rujukan digital berhubung penentangan mereka terhadap Parti Komunis China.

Sebaik undang-undang itu dikuatkuasa, kebanyakan pengguna Twitter dan aplikasi sosial lain seperti Telegram dan Singnal banyak berkongsi perkara mengenai keselamatan siber dan internet.

Sekumpulan peguam yang cenderung menyokong pro-demokrasi memberitahu bahawa mereka sudah memadamkan semua perbualan WhatsApp sebelum ini.

Undang-undang baharu itu juga membenarkan agensi keselamatan yang digeruni di China, kini beroperasi di Hong Kong buat pertama kali.

Syarikat menyediakan alat rangkaian peribadi maya (VPN) bagi menjadikan akses internet lebih selamat, melaporkan muat turun aplikasi itu meningkat sejak penggubalan undang-undang itu diumumkan.

Semalam, China menamakan Pengarah Pejabat Perhubungan Beijing di Hong Kong, Luo Huining, sebagai penasihat keselamatan kebangsaan kepada suruhanjaya keselamatan kebangsaan dipengerusikan Ketua Eksekutif, Carrie Lam, yang baru dibentuk.

Majlis Negeri China pula melantik pegawai veteran Hong Kong, Eric Chan Kwok-ki, sebagai Setiausaha Agung suruhanjaya itu.

Suruhanjaya yang dibentuk oleh undang-undang baharu itu memantau format berkaitan dengan undang-undang keselamatan kebangsaan di Hong Kong. - AGENSI

Berita Harian X