Jumaat, 19 Jun 2020 | 7:07pm
Menteri Penyatuan Korea Selatan, Kim Yeon-chul. - Foto AFP
Menteri Penyatuan Korea Selatan, Kim Yeon-chul. - Foto AFP

Menteri Penyatuan Korea Selatan letak jawatan

SEOUL: Menteri Penyatuan Korea Selatan, Kim Yeon-chul, meletak jawatan hari ini susulan ketegangan yang semakin meningkat dengan Korea Utara.

Menurut kenyataan Rumah Biru, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, menerima peletakan jawatan Yeon-chul, yang juga orang penting dalam hubungan negara itu dengan Korea Utara, tanpa sebarang penjelasan lanjut.

Dilaporkan, Jae-in mengumumkan peletakan jawatan Yeon-chul semalam, sehari selepas Korea Utara memusnahkan pejabat perhubungan bersama di selatan negara itu.

Yeon-chul berkata beliau meletak jawatan kerana bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kekusutan sehingga memburukkan hubungan antara Korea Selatan dan Korea Utara.

Sejak awal bulan ini, Korea Utara beberapa kali mengeluarkan kenyataan tegas mengutuk Korea Selatan atas risalah anti-Pyongyang yang disebarkan oleh pembelot melepasi sempadan dengan dilekatkan pada belon atau botol.

Penganalisis berkata, Korea Selatan mungkin berusaha untuk mencetuskan krisis dalam usaha meningkatkan lagi ketegangan di selatan bagi mendapatkan konsesi.

Selasa lalu, negara berkenaan mengurangkan pembinaan di sebelah sempadannya, menandakan keretakan hubungan antara Korea Selatan dengan Korea Utara semakin melebar.

Sehari selepas itu, Korea Utara mengancam akan meningkatkan kehadiran tenteranya di sekitar Zon Bebas Tentera.

Sejak beberapa bulan lalu, hubungan antara dua negara itu dingin, diburukkan lagi dengan kegagalan sidang di Hanoi antara pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Mesyuarat yang berlangsung di Vietnam itu bermatlamat 'memujuk' Korea Utara menyerahkan senjata nuklear sebagai pertukaran untuk melonggarkan sekatan ke atas negara komunis itu.

Isnin lalu, Presiden Korea Selatan yang berhaluan kiri, dalam ucapannya mahu dialog antara Korea diadakan dan menekankan pentingnya usaha damai di semenanjung itu.

Namun, kakak kepada pemimpin Korea Utara, Kim Yo-jong, menyifatkan ucapan itu sebagai menjijikkan, memalukan dan biadab.

Korea Selatan dan Korea Utara secara berperang selepas Perang Korea berakhir dengan gencatan senjata pada 1953 tetapi ia bukan perjanjian damai. - AFP

Berita Harian X