Rabu, 17 Jun 2020 | 4:51pm
Tentera Korea Selatan berkawal di pintu masuk antara sempadan Korea. Foto AFP
Tentera Korea Selatan berkawal di pintu masuk antara sempadan Korea. Foto AFP

Korea utara ancam tambah tentera di Zon Bebas Tentera

SEOUL: Korea Utara hari ini mengancam untuk meningkatkan kehadiran tentera di Zon Bebas Tentera, sehari selepas negara itu meletupkan pejabat perhubungannya dengan Korea Selatan sehingga dikritik hebat pihak Seoul.

Dalam satu siri kecaman oleh Korea Selatan, Korea Utara yang memiliki senjata nuklear menolak tawaran Presiden Moon Jae-in untuk menghantar utusan bagi proses rundingan.

Kakak kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un iaitu Kim Yo Jong menyifatkannya sebagai 'cadangan tidak bijak dan jahat', lapor agensi berita rasmi KCNA.

Seoul membalasnya dengan kecaman yang luar biasa apabila melabel kenyataan itu sebagai 'tidak masuk akal' dan 'sangat biadab'.

"Kami beri amaran bahawa kami tidak lagi akan tolak ansur dengan tindakan dan kenyataan tidak masuk akal Korea Utara," kata jurucakap Rumah Biru, Yong Do-han.

Menurut Kementerian Pertahanan, ancaman Korea Selatan cuma akan mencabuli beberapa perjanjian antara Korea.

"Korea Utara pasti akan menanggung kesan daripada perbuatan berkenaan," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Pejabat perhubungan di Zon Industri Kaesong, terletak di seberang sempadan di wilayah Utara dimusnahkan selepas Pyongyang dengan keras mengutuk Seoul kerana risalah anti negara komunis itu yang dikirim oleh pembelot ke Utara.

Segala aktiviti di pejabat itu sudah pun digantung untuk beberapa bulan berikutan penularan pandemik COVID-19.

Hubungan antara dua negara jiran itu terhenti sejak 'runtuhnya' sidang kemuncak yang berlangsung pada tahun lalu antara Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) di Hanoi mengenai pelepasan sekatan dan apa Pyongyang mahukan sebagai balasan untuk menghapuskan senjata nuklearnya.

Sementara itu, penganalisis menjangkakan Korea Utara sekarang mungkin sedang berusaha untuk menghasilkan krisis bagi meningkatkan tekanan di selatan untuk mengambil konsesi.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi KCNA, seorang jurucakap tentera Korea Utara mengatakan akan mengerahkan unit peringkat regimen ke kawasan pelancongan di Gunung Kumgang dan kompleks Kaesong. - AFP

Berita Harian X