Rabu, 17 Jun 2020 | 2:21pm
Anggota tentera Korea Selatan mengunci pintu pagar bersebelahan Imjingak Peace Park di bandar sempadan Paju. - Foto AFP
Anggota tentera Korea Selatan mengunci pintu pagar bersebelahan Imjingak Peace Park di bandar sempadan Paju. - Foto AFP

Korea Utara akan terima akibatnya - Korea Selatan

SEOUL: Tentera Korea Selatan memberi amaran akan memastikan Korea Utara menerima balasan setimpal jika musuh tradisi itu melancarkan tindakan ketenteraan ke atas mereka.

Pengarah Operasi Ketua Bersama, Jeon Dong-jin, membuat kenyataan itu beberapa jam selepas Korea Utara mengugut akan menghantar pasukan ke kawasan perindustrian di barat sempadan pekan Kaesong dan Gunung Kumgang.

Menurut Korea Utara, mereka juga akan mengembalikan khidmat pengawal di Zon Bebas Tentera yang ditamatkan sebelum ini, dan menyambung semula semua latihan ketenteraan berhampiran sempadan.

"Tindakan ini merosakkan usaha dua dekad oleh Korea Utara dan Korea Selatan bagi meningkatkan hubungan dua hala dan menjaga keamanan di Semenanjung Korea.

"Jika Korea Utara benar-benar mengambil tindakan ini, mereka perlu bersedia menanggung akibatnya," katanya.

Terdahulu, Kim Yo-jong iaitu kakak kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, mengancam untuk melupuskan terus perjanjian berkenaan, berikutan tindakan aktivis mengedarkan risalah anti Pyongyang yang dihantar melepasi sempadan.

Yo-jong berkata, Seoul patut bersedia untuk memansuhkan perjanjian Utara-Selatan dari aspek ketenteraan jika gagal mengambil langkah sewajarnya dalam menangani isu risalah itu. - AFP

Berita Harian X