Ahad, 14 Jun 2020 | 2:37pm
Kim Yo Jong, kakak kepada Presiden Korea Utara, Kim Jong Un. - Foto AFP
Kim Yo Jong, kakak kepada Presiden Korea Utara, Kim Jong Un. - Foto AFP

Korea Selatan minta Korea Utara hormati perjanjian

SEOUL: Kementerian Penyatuan Korea Selatan berkata, Korea Utara harus menghormati perjanjian masa lalu yang ditandatangani dua negara itu, sehari selepas Pyongyang memberi amaran mengenai tindakan balas membabitkan tentera.

"Korea Selatan dan Korea Utara harus berusaha menghormati semua perjanjian yang sudah dicapai. Kerajaan memandang serius keadaan semasa," menurut kenyataan kementerian itu.

Sabtu lalu, Kim Yo Jong, kakak kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, mengatakan negara itu akan mengambil tindakan terhadap Korea Selatan dan percaya tenteranya dapat melaksanakannya, menurut laporan agensi berita KCNA.

"Sudah tiba masanya untuk memutuskan hubungan dengan pihak berkuasa Korea Selatan. Kami akan segera mengambil tindakan seterusnya," katanya dalam kecaman terbaru terhadap Seoul.

Sejak minggu lalu, Korea Utara berterusan mengecam Korea Selatan terhadap aktivis yang menghantar risalah anti Pyongyang ke sempadan, sesuatu yang dilakukan oleh pembelot secara berkala.

"Dengan menggunakan kuasa saya yang diberi oleh pemimpin tertinggi, parti dan negara kita, kita memberi arahan kepada pihak jabatan yang bertanggungjawab atas urusan dengan musuh untuk secara tegas melakukan tindakan selanjutnya," katanya yang juga penasihat utama kepada abangnya.

Yo Jong bagaimanapun tidak menjelaskan mengenai tindakan ketenteraan itu tetapi seperti mengancam pemusnahan Pejabat Perhubungan Bersama, di sempadan bandar Korea Utara, Kaesong.

Minggu lalu, beliau mengecam Seoul kerana tidak menghalangi aktivis dari menerbangkan belon yang membawa risalah anti-rejim melintasi sempadan. -AGENSI

Berita Harian X