Khamis, 4 Jun 2020 | 2:47pm

Korea Utara ancam batal perjanjian ketenteraan dengan Korea Selatan

SEOUL: Korea Utara hari ini mengancam untuk membatalkan perjanjian ketenteraan dengan Korea Selatan dan menutup pejabat perhubungan rentas sempadan sekiranya negara itu menyekatkan aktivis mengedarkan risalah anti-Pyong yang ke sempadan keduanya.

Kenyataan itu dikeluarkan adik perempuan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un di tengah-tengah hubungan dingin dua negara, meskipun sudah berlangsung tiga pertemuan antara Jong Un dan Presiden Selatan, Moon Jae-in pada tahun 2018.

Pembela Korea Utara dan aktivis lain sudah lama menerbangkan belon melepasi sempadan bagi menyebarkan risalah mengkritik Kim terhadap pelanggaran hak asasi manusia dan cita-cita nuklearnya.

"Pihak berkuasa Korea Selatan terpaksa membayar 'harga' mahal jika membiarkan keadaan ini berlanjutan sambil memberikan pelbagai alasan," kata Kim Yo Jong dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita rasmi KCNA.

Menyebut pembelot sebagai 'sampah manusia' dan 'anjing peliharaan seperti sampah' yang mengkhianati tanah air, beliau mengatakan 'sudah tiba masanya membawa pemiliknya kembali' merujuk kepada pemerintahan Korea Selatan.

Beliau mengancam untuk membatalkan perjanjian ketenteraan yang ditandatangani semasa kunjungan Jae-in ke Pyongyang pada tahun 2018 yang bertujuan untuk meredakan ketegangan sempadan dan menutup pejabat perhubungan rentas sempadan.

Namun kebanyakan perjanjian yang dipersetujui pada pertemuan itu belum dilaksanakan, dengan Pyongyang sebahagian besarnya memutuskan hubungan dengan Seoul berikutan kegagalan sidang kemuncak antara Jong Un dan Presiden AS, Donald Trump, di Hanoi tahun lalu yang menyebabkan perbincangan nuklear terhenti.

Operasi pejabat penghubungan ditangguhkan susulan wabak COVID-19 dan Korea Utara sudah melakukan puluhan ujian senjata sejak perjanjian ketenteraan ditandatangani.

Yo Jong juga mengancam untuk menarik diri secara tetap dari projek bersama dengan Selatan termasuk lawatan di Taman Perindustrian Kaesong dan Gunung Kumgang di mana kedua-duanya lubuk kekayaan bagi Korea Utara yang ditangguhkan sejak bertahun-tahun lamanya berikutan sekatan terhadap program senjatanya. - AFP

Berita Harian X