Rabu, 3 Jun 2020 | 8:02pm
Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian. - Foto AFP
Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian. - Foto AFP

China ingatkan Britain jangan campur tangan isu Hong Kong

BEIJING: China hari ini memberi amaran kepada Britain bahawa campur tangan negara itu dalam isu pelaksanaan undang-undang keselamatan nasional di Hong Kong akan memakan diri.

Jurucakap Kementerian Luarnya, Zhao Lijian, mengingatkan United Kingdom (UK) supaya tidak terlalu terikut-ikut dengan mentaliti perang dingin dan sikap penjajah.

"Kami menasihatkan UK berundur, tinggalkan mentaliti perang dingin dan pemikiran penjajah selain mengiktiraf serta menghormati hakikat bahawa Hong Kong sudah kembali kepada China," katanya.

Tambah beliau, London harus segera berhenti mengganggu hal ehwal Hong Kong dan urusan dalaman China supaya perbuatan itu tidak menjejaskan diri sendiri.

Teguran itu menyusuli kenyataan Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab, hari ini bahawa China masih ada masa untuk mempertimbangkan tindakan bersifat menekan tunjuk perasaan pro-demokrasi di wilayah separa autonomi itu.

Raab memberitahu Parlimen British yang beliau sudah bercakap dengan lima rakan sekutunya atau 'Five Eyes' mengenai potensi membuka pintunya kepada rakyat Hong Kong jika rancangan Beijing itu mencetuskan penghijrah besar-besaran.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, berkata beliau akan menawarkan jutaan visa kepada rakyat Hong Kong dan laluan untuk memperoleh kewarganegaraan UK sekiranya China meneruskan rancangannya.

Pembangkang bimbang undang-undang itu akan mengakibatkan penindasan politik di hab kewangan itu, sekali gus mengikis kebebasan dan autonomi yang sepatutnya dijamin Britain pada 1997 ketika Hong Kong 'dipulangkan' kepada China. - AFP

Berita Harian X