Khamis, 21 Mei 2020 | 10:49am
SEORANG wanita mengalihkan pokok selepas dibadai taufan Amphan di Midnapore, barat Bengal, (Foto/AFP)
SEORANG wanita mengalihkan pokok selepas dibadai taufan Amphan di Midnapore, barat Bengal, (Foto/AFP)

12 terbunuh dibadai taufan Amphan di India

NEW DELHI: Kira-kira 12 penduduk di Bengal Barat, India terkorban akibat dibadai taufan Amphan, dengan kemusnahan dilaporkan di kebanyakan kawasan penempatan di India dan Bangladesh, semalam.

Manakala lima kematian dilaporkan, setakat ini di Bangladesh.

Menurut Jabatan Meteorologi India, taufan dahsyat itu melintasi pantai Bengal Barat dan Bangladesh dengan kelajuan angin sehingga 185 kilometer sejam (kmj).

Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee berkata banyak kawasan yang musnah akibat musibah berkenaan.

"Saya mempunyai berpengalaman menghadapi situasi seumpama perang sebagaimana yang berlaku hari ini.

"Sekurang-kurangnya 10 hingga 12 orang meninggal dunia dalam kejadian ini," katanya yang dipetik daripada laporan media tempatan.

Menurutnya, daerah Nandigram dan Ramnagar antara kawasan penempatan yang musnah, manakala di Kolkata, kebanyakan kawasan kediaman ditenggelami air.

Taufan berkenaan turut memusnahkan bukan sahaja kediaman penduduk, tetapi mengakibatkan bekalan elektrik terputus dan pokok tumbang di kebanyakan tempat.

Pihak berkuasa di kedua-dua negara itu sudah menyelamatkan ribuan penduduk dari kawasan pesisir pantai sebelum berlakunya taufan berkenaan. -BERNAMA

Berita Harian X