Rabu, 20 Mei 2020 | 5:27pm
Kesan awal taufan Amphan mula dirasai di daerah Digha, Bengal Barat. India dan Bangladesh dijangka memindahkan kira-kira dua juta penduduk ke pusat perlindungan taufan. - Foto AFP
Kesan awal taufan Amphan mula dirasai di daerah Digha, Bengal Barat. India dan Bangladesh dijangka memindahkan kira-kira dua juta penduduk ke pusat perlindungan taufan. - Foto AFP

COVID-19, taufan cetuskan panik di India

KOLKATA: India mula memindahkan ribuan penduduk kampung dan menghentikan operasi pelabuhan berikutan taufan dijangka melanda pantai timurnya minggu ini.

Bencana alam terbabit dikhuatiri akan menambah tekanan terhadap pasukan kecemasan negara itu yang sedang bergelut dengan pandemik COVID-19, yang setakat hari ini menjangkiti 106,886 orang dan mengorbankan 3,303 nyawa.

Taufan Amphan sebelum ini membadai Myanmar serta Bangladesh dan diramal melanda India hari ini, yang ketika ini sedang mula melonggarkan perintah berkurung sejak April lalu.

Beberapa negeri termasuk Odisha dan Bengal Barat sudah menghantar pasukan pengurusan bencana untuk memindahkan penduduk ke tempat perlindungan taufan.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, dijangka mengadakan mesyuarat di New Delhi untuk membincangkan bagaimana mengurangkan kerosakan dan kecederaan akibat taufan itu.

Menurut jurucakap jabatan meteorologi, taufan Amphan dijangka mencapai kekuatan tertinggi dalam tempoh 12 jam akan datang.

India, yang mempunyai kawasan pesisiran pantai sepanjang 7,516 kilometer (km), setiap tahun dibadai lebih 10 jenis taufan tropika dari serata dunia, sebahagian besarnya melanda pesisir pantai timur di sekitar Teluk Benggala.

Untuk rekod, India juga mencatat lonjakan terbesar dalam kes COVID-19 Isnin lalu, sebahagian besarnya membabitkan pekerja migran yang pulang ke kampung berikutan kehilangan pekerjaan.

Dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 5,242 kes baharu dilaporkan dengan 157 kematian, sekali gus menjadikan India antara negara paling teruk terjejas di Asia. - AGENSI

Berita Harian X