Isnin, 11 Mei 2020 | 2:04pm
Seorang lelaki melepasi terowong sanitasi di pintu utama ke Masjidil Haram dan Kaabah sebagai langkah kawalan pandemik COVID-19 sepanjang Ramadan di Makkah. - Foto AFP
Seorang lelaki melepasi terowong sanitasi di pintu utama ke Masjidil Haram dan Kaabah sebagai langkah kawalan pandemik COVID-19 sepanjang Ramadan di Makkah. - Foto AFP

Arab Saudi naik kadar VAT, henti beri elaun kos sara hidup

RIYADH: Menteri Kewangan Arab Saudi hari ini berkata, negara itu akan menaikkan Cukai Nilai Tambah (VAT) tiga kali ganda dan menggantung bayaran bulanan untuk setiap penduduk, dalam pendekatan baharu menangani krisis ekonomi akibat COVID-19.

"Kami sudah memutuskan bahawa elaun kos sara hidup akan ditangguh bermula Jun 2020, manakala VAT akan dinaikkan daripada lima peratus kepada 15 peratus bermula 1 Julai ini," kata menteri berkenaan, Mohammed Al Jadaan, seperti dilaporkan Agensi Berita Saudi.

Pendekatan itu diputuskan selepas Jadaan minggu lalu memberi amaran berhubung beberapa langkah 'menyakitkan' yang akan dilaksanakan kerajaan, susulan kemelut ekonomi akibat COVID-19.

Arab Saudi, bersama beberapa negara Teluk lain mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan sebanyak lima peratus pada 2018, untuk menambah pendapatan negara.

Negara petroleum itu turut memperkenalkan pemberian elaun berjumlah bilion dolar kepada rakyat, dikenali sebagai elaun kos sara hidup, sebagai menangani kos yang semakin meningkat.

Menurut Jadaan, Riyadh dijangka kehilangan separuh daripada pendapatan dihasilkan menerusi minyak, yang menyumbang kira-kira 70 peratus pendapatan awam, susulan kejatuhan harga bahan itu sebanyak dua pertiga sejak awal tahun ini.

Katanya, negara peneraju pengeksport minyak mentah itu perlu meminjam hampir AS$60 bilion (RM261 bilion) tahun ini bagi menampung defisit belanjawan.

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pada April meramalkan bahawa ekonomi Saudi akan menguncup sebanyak 2.3 peratus tahun ini. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X