Isnin, 11 Mei 2020 | 9:36am
Pekerja yang terkandas sedang beratur untuk menaiki kereta api khas dari Stesen Kereta Api Sentral MGR Chennai, ke Manipur selepas kerajaan melonggarkan arahan perintah berkurung. - Foto AFP
Pekerja yang terkandas sedang beratur untuk menaiki kereta api khas dari Stesen Kereta Api Sentral MGR Chennai, ke Manipur selepas kerajaan melonggarkan arahan perintah berkurung. - Foto AFP

India buka semula operasi kereta api

NEW DELHI: India antara negara memiliki rangkaian kereta api terbesar dunia secara bertahap akan memulakan semula operasi perkhidmatan pengangkutan itu bermula esok, bagi melonggarkan perintah berkurung.

Sebahagian daripada 30 perjalanan kereta api akan beroperasi dari ibu kota New Delhi ke beberapa bandar utama termasuk Mumbai, Bangalore dan Chennai, menurut kenyataan Kementerian Perkhidmatan Kereta api India pada Ahad.

"Perancangan Perkhidmatan Kereta Api India ialah memulakan semula operasi secara berperingkat bermula Selasa (12 Mei)... kemudiannya akan memulakan lebih banyak perkhidmatan khas di laluan lain.

"Penumpang wajib memakai topeng muka dan melalui ujian pengimbasan suhu di lobi pelepasan dan hanya mereka yang tidak ada gejala simpton virus COVID-19 dibenarkan masuk," katanya.

Rangkaian kereta api di India yang digunakan lebih 20 juta penduduknya, dihentikan sementara sejak Mac lalu, selepas kerajaan negara itu melaksanakan perintah berkurung bagi menangani penularan COVID-19.

Sejak awal bulan ini, kerajaan berkata, lebih 336 kereta api khas yang membawa 1,200 penumpang bagi membantu golongan miskin yang terkandas, mereka yang kehilangan kerja boleh pulang ke kampung masing-masing.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Kereta Api, Piyush Goyal menerusi ciapan Twitter pada Ahad, berkata lebih 300 kereta api khas beroperasi setiap hari untuk membawa pulang mereka yang terkandas di ibu kota.

"Saya meminta pentadbir setiap negeri memberi kebenaran bagi membawa balik mereka yang terkandas supaya mereka dapat pulang ke kampung dalam tempoh tiga hingga empat hari akan datang," katanya.

India memulakan pelan melonggarkan perintah berkurung yang dijangka berakhir 17 Mei ini, tetapi pengangkutan awam rentas negeri, penerbangan antarabangsa dan domestik masih dilarang. - AFP

Berita Harian X