Sabtu, 9 Mei 2020 | 8:20pm
Polis Gujarat menahan seorang lelaki kerana membaling batu ke arah pihak berkuasa di kawasan Shahpur ketika perintah berkurung akibat COVID-19. - Foto AFP
Polis Gujarat menahan seorang lelaki kerana membaling batu ke arah pihak berkuasa di kawasan Shahpur ketika perintah berkurung akibat COVID-19. - Foto AFP

India guna dron lakukan semburan nyah kuman

AHMEDABAD: India menggunakan dron untuk melakukan semburan nyah kuman di kawasan dilanda wabak COVID-19 membabitkan beberapa kawasan di bandar ini.

Langkah itu dilaksanakan selepas pasukan keselamatan bertempur dengan penduduk yang ingkar perintah berkurung ketat di kawasan terbabit.

Bandar yang terletak di sebelah barat dengan 5.5 juta penduduk itu menjadi kebimbangan utama untuk pihak berkuasa kerana diancam lonjakan kes kematian dan jangkitan COVID-19 tertinggi di India.

Daripada hampir 2,000 kematian yang dilaporkan, 343 berlaku di Ahmedabad tetapi itu hanya membabitkan kurang sepuluh peratus kes yang direkodkan. Bandar lain di Gujarat juga teruk dilanda pandemik itu.

Dron digunakan untuk semburan nyah cemar melalui udara manakala kenderaan lain akan bergerak menjelajah laluan kosong sambil membersihkan jalan dan luar bangunan.

Pemangku ketua pentadbir bandar, Rajiv Gupta, berkata pihaknya memulakan latihan besar-besar untuk semburan nyah kuman di semua zon dalam kawasan bandar.

India menggunakan dron untuk melakukan semburan nyah kuman di kawasan dilanda wabak COVID-19 membabitkan beberapa kawasan di bandar ini.
India menggunakan dron untuk melakukan semburan nyah kuman di kawasan dilanda wabak COVID-19 membabitkan beberapa kawasan di bandar ini.

India antara negara yang menguatkuasakan perintah berkurung terbesar dunia bermula 25 Mac lalu dan Ahmedabad adalah antara negeri paling ketat penguatkuasaannya berikutan penularan meluas wabak itu.

Ratusan anggota tentera dikerah bagi memastikan orang awam tidak keluar rumah selain semua premis ditutup sekurang-kurangnya seminggu.

Malam tadi, pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata ke arah penduduk yang bertindak melempar batu dan menahan sekurang-kurangnya 15 orang.

Pihak berkuasa menegaskan, krisis pandemik terkawal dan melonggarkan sekatan di beberapa bahagian di India untuk membenarkan sektor pertanian serta beberapa syarikat beroperasi semula.

Bagaimanapun, pakar memberi amaran mengenai peningkatan jumlah jangkitan kerana walaupun perintah berkurung dikuatkuasa, wabak merebak cepat di bandar-bandar besar seperti Mumbai, New Delhi dan Ahmedabad.

Di samping itu, pakar juga mendedahkan jumlah kes lebih tinggi daripada yang dilaporkan kerana kurangnya ujian serta pengiraan yang lemah bagi kes kematian.

Meskipun jumlah kematian di India rendah berbanding Amerika Syarikat (AS) dan negara paling teruk terjejas di Eropah, pakar kesihatan meramalkan lekuk jangkitan pandemik itu kemungkinan akan memuncak ada Jun dan Julai depan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X