Jumaat, 1 Mei 2020 | 3:58pm
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un. - Foto AFP
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un. - Foto AFP

Korea Utara dijangka bergolak kerana krisis kepimpinan

TOKYO: Status kesihatan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, yang terus menjadi tanda tanya mencetuskan kekhuatiran negara komunis itu mungkin bergolak akibat perebutan pucuk pimpinan.

Namun, Korea Selatan percaya Jong-un masih berkuasa dan sekiranya benar beliau sakit teruk, pemerhati politik berpendapat adiknya, Kim Yo-jong, cukup berpengaruh bagi mengambil alih kepimpinan negara itu dengan sokongan pemimpin tertentu.

Selain itu, bapa saudara Jong-un, Kim Pyong-il, turut dijangka mungkin cuba mengambil alih pucuk pimpinan.

Pyong-il, 65, adalah anak terakhir pengasas Korea Utara, Kim Il-sung, yang diketahui masih hidup.

Pemerhati di Korea Utara berpendapat Pyong-il bakal mengambil alih kepimpinan daripada Jong-un yang belum menamakan pengganti kerana beliau adalah seorang lelaki dan memiliki darah Il-sung.

Bekas Timbalan Duta Korea Utara ke United Kingdom (UK), Thae Yong-ho, yang berpaling tadah ke Korea Selatan, berkata pemimpin lelaki konservatif di Pyongyang akan menentang peralihan kuasa kepada Yo-jong.

"Untuk mengelakkan perkara ini, beberapa pemimpin akan berusaha mengembalikan Pyong-il, yang sekarang ditahan di rumah untuk menggantikan Jong-un.

"Walaupun Yo-jong bersama-sama abangnya membuat keputusan berhubung dasar negara sejak beberapa tahun lalu, faktor jantina dan umurnya yang masih muda iaitu 30 tahun, menjadi penghalang," katanya.

Dalam pada itu, sekiranya berlaku pergolakan, maka langkah berjaga-jaga yang sudah lama diselaras Korea Selatan bersama Amerika Syarikat (AS) iaitu OPLAN 5029 dijangka digerakkan.

Ia bertujuan memastikan keselamatan sempadan negara dan simpanan senjata nuklear Korea Utara terjamin sekiranya kerajaan di Pyongyang lumpuh dan hilang kawalan pentadbiran.

Bagaimanapun, kata pakar nuklear Korea Utara di MIT, Vipin Narang, OPLAN 5029 mungkin dilihat sebagai mencabuli kedaulatan Korea Utara dan mencetuskan peperangan jika tidak dikendalikan secara bijak.

Difahamkan, kebimbangan terbesar AS sekarang ialah kemungkinan simpanan senjata nuklear Korea Utara itu digunakan, dicuri atau dijual.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, berkata Washington akan teruskan usaha menghapuskan sama sekali persenjataan nuklear Korea Utara, tidak kira apa yang berlaku kepada kepemimpinan negara itu.

Sementara itu, China juga mempunyai kepentingan dalam kemelut ini kerana berkongsi sempadan dan menjadi sumber utama sokongan bantuan dan diplomatik kepada Korea Utara.

Walaupun China bersetuju dengan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap program nuklear Korea Utara, ia tetap risau sekiranya berlaku pergolakan kerana mungkin mencetuskan masalah pelarian memasuki negaranya.

Hakikatnya, kebanyakan penduduk China di kawasan bersempadan dengan Korea Utara adalah etnik negara itu dan kemasukan pelarian menimbulkan kebimbangan China mungkin kehilangan wilayah berkenaan. - AGENSI

Berita Harian X