TOKYO: Dengan status kesihatan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un yang tidak menentu, nama bapa saudaranya Kim Pyong-il, timbul kembali dan disebut-disebut bakal menggantikan tempat beliau.
Pyong-il, 65, adalah anak terakhir pengasas Korea Utara, Kim Il-sung, yang diketahui masih hidup.
Selepas tewas kepada saudara tirinya, Kim Jong-il pada tahun 1970-an yang memegang pemerintahan daripada tahun 1994 hingga 2011, Pyong-il menghabiskan kira-kira empat dekad di luar negara dengan memegang jawatan diplomatik termasuk di Hungary, Bulgaria, Finland, Poland dan Republik Czech.
Beliau kembali ke Pyongyang tahun lalu. Walaupun Pyong-il diketepikan, beliau sering diabaikan oleh media negara itu dan tidak mendapat kekuatan mencukupi untuk mencabar kepimpinan di Korea Utara.
Pemerhati Korea Utara bagaimanapun berkata, beliau bakal mengambil alih kepimpinan daripada Jong-un yang belum menamakan pengganti.
Ia berikutan Pyong-il adalah seorang lelaki dan memiliki darah Kim.
Bekas Timbalan Duta Korea Utara ke United Kingdom (UK), Thae Yong-ho, yang berpaling tadah ke Korea Selatan, berkata pemimpin lelaki konservatif di Pyongyang akan menentang peralihan kuasa kepada adik perempuan Jong-un, iaitu Kim Yo-jong.
Yo-jong bersama-sama abangnya membuat keputusan berhubung polisi negara sejak beberapa tahun lalu.
Yong-ho berkata, ia disebabkan oleh faktor jantina dan umurnya yang masih muda iaitu 30 tahun.
Beliau memberikan amaran bahawa kepimpinan bersama yang diterajui oleh Yo-jong boleh menyebabkan huru hara.
"Masalahnya, jika Yo-jong memimpin negara, ia tidak mungkin akan bertahan lama," katanya.
"Untuk mengelakkan perkara ini, beberapa pemimpin akan berusaha mengembalikan Pyong-il, yang sekarang ditahan di rumah untuk menggantikan Jong-un," katanya. - BLOOMBERG