Sabtu, 25 April 2020 | 4:15pm
Gambar fail Kumpulan 20 (G20). - FOTO AFP
Gambar fail Kumpulan 20 (G20). - FOTO AFP

COVID-19: G20 ikrar bantu industri pelancongan global

RIYADH: Negara anggota Kumpulan 20 (G20) semalam berikrar untuk membantu menangani impak ekonomi terhadap industri pelancongan global yang muncul antara paling teruk terkesan akibat pandemik COVID-19 dengan risiko kehilangan berjuta-juta pekerjaan.

Perintah berkurung susulan penularan wabak itu telah menjejaskan industri pelancongan antarabangsa yang dianggarkan merosot hingga 45 peratus, tahun ini, menurut Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD).

Menteri-menteri Pelancongan G20 berikrar untuk memastikan penyelarasan usaha ketika negara mereka melonggarkan sekatan perjalanan dan perintah berkurung, sekali gus menyokong pemulihan industri yang sedang bergelut itu.

"Kami komited untuk membantu perniagaan sektor pelancongan... usahawan dan pekerja untuk menyesuaikan diri serta melalui satu era baharu pascakrisis," kata mereka dalam satu kenyataan bersama selepas satu mesyuarat maya dipengerusikan oleh Arab Saudi.

Sambil memetik Majlis Pelancongan Dunia, mereka berkata, kira-kira 75 juta pekerjaan dalam sektor berkenaan sedang dilanda risiko. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X