Ahad, 5 April 2020 | 11:50am
China masih berdepan penularan wabak COVID-19 walaupun angka kes harian mencatatkan penurunan secara dramatik. - FOTO AFP
China masih berdepan penularan wabak COVID-19 walaupun angka kes harian mencatatkan penurunan secara dramatik. - FOTO AFP

COVID-19: China lapor 30 kes baharu

BEIJING: China melaporkan 30 kes baharu COVID-19, semalam, meningkat berbanding 19 pada hari sebelumnya susulan kepulangan rakyatnya dari luar negara dan jangkitan tempatan.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan dalam satu kenyataan, hari ini, 25 daripada keseluruhan kes baharu itu membabitkan kemasukan rakyat dari luar negara, berbanding hanya 18 pada hari sebelumnya.

Lima jangkitan tempatan turut dilaporkan, semalam, yang semuanya di wilayah Guangdong di selatan China, iaitu meningkat berbanding hari sebelumnya.

Setakat ini, China mencatatkan 81,669 kes, manakala jumlah kematian meningkat kepada 3,329.

Walaupun angka jangkitan harian menurun secara dramatik berbanding tempoh puncak pada Februari lalu, Beijing masih gagal membendung sepenuh kes baharu selepas pelbagai pendekatan drastik diambil bagi membasmi penularan pandemik itu.

Kes import dan pesakit tanpa simptom menjadi kebimbangan utama China, beberapa minggu kebelakangan ini.

Ia menyebabkan negara ini bertindak menutup semua sempadan kepada rakyat asing meskipun sebahagian besar kes import membabitkan penduduk tempatan yang baru pulang dari luar negara.

Kerajaan pusat turut menggesa pihak berkuasa tempatan mengenal pasti dan mengasingkan pesakit yang tidak menunjukkan sebarang simptom.

Suruhanjaya kesihatan itu berkata, 47 kes baharu yang tidak mempunyai simptom dilaporkan di Tanah Besar, semalam, berbanding 64 pada hari sebelumnya. - Agensi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X