Khamis, 2 April 2020 | 11:42am
FOTO hiasan
FOTO hiasan

COVID-19: Australia uji vaksin

CANBERRA: Penyelidik Agensi Sains Kebangsaan Australia memulakan ujian vaksin untuk merawat COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.

Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO) hari ini mengumumkan menjalankan fasa pertama ujian di Makmal Kesihatan Haiwan Australia (AAHL) di Geelong, kira-kira 75 kilometer (km) di barat daya Melbourne.

Percubaan itu dijangka mengambil masa tiga bulan dan akan dijalankan terhadap haiwan, iaitu ferret bagi menentukan sama ada dua vaksin berkenaan selamat dan berkesan.

Ketua Eksekutif CSIRO, Larry Marshall, berkata permulaan bagi percubaan ujian vaksin ialah peristiwa penting dalam usaha melawan COVID-19.

Beliau berkata, usaha itu dapat direalisasikan dengan kerjasama dalam kalangan penyelidik Australia dan luar negara.

“Penyelidik CSIRO sedang berusaha sedaya mungkin untuk melawan penyakit yang sudah menjangkiti ramai orang sama ia di AAHL atau di fasiliti pembuatan seni biologi di negara ini ... kita akan terus bekerja sehingga musuh viral ini ditewaskan,” katanya dalam kenyataan.

Usaha CSIRO bermula pada Januari lalu apabila bekerjasama dengan Gabungan Inovasi Persediaan Wabak (CEPI), iaitu sebuah pertubuhan global menumpukan terhadap pembangunan vaksin.

Untuk menguji kecekapan, CSIRO akan turut menilai sejauh mana mereka mengurus dan bertanggungjawab terhadap vaksin itu.

Walaupun jika didapati vaksin itu benar-benar berkesan dan selamat, ia memerlukan antara 12 hingga 18 bulan untuk memasuki pasaran.

Sebuah makmal SARS-CoV-2 iaitu virus penyebab COVID-19 dipindahkan dari Melbourne ke AAHL pada Januari lalu.

Pengarah AAHL, Trevor Drew, berkata pihaknya sudah menjalankan kajian terhadap virus SARS-CoV-2 yang dibangunkan di makmal pada Januari lalu dan sedang melakukan persediaan untuk menjalankan ujian ke atas vaksin pertama.

“Kita begitu berhati-hati dalam seimbangkan kepantasan operasi dengan keperluan kritikal terhadap keselamatan sebagai tindak balas susulan darurat kesihatan awam global,” katanya. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X