Jumaat, 27 March 2020 | 11:33am
Orang awam beratur untuk membuat pemeriksaan di Hospital Huanggang Zhongxin, China, hari ini. China melaporkan lebih 50 kes jangkitan COVID-19 import hari ini. - Foto AFP
Orang awam beratur untuk membuat pemeriksaan di Hospital Huanggang Zhongxin, China, hari ini. China melaporkan lebih 50 kes jangkitan COVID-19 import hari ini. - Foto AFP

COVID-19: Kes import terus meningkat di China

BEIJING: China melaporkan lebih 50 kes jangkitan COVID-19 import hari ini, selepas beberapa jam kerajaan itu mengumumkan larangan ketibaan asing daripada memasuki negara itu.

Dalam beberapa minggu ini, China mencatatkan penurunan secara dramatik dengan hanya beberapa kes domestik dari hari ke hari di sebalik seluruh dunia mengalami pertambahan kes.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, berkata daripada 55 jangkitan baharu di China, 54 daripadanya adalah kes import dari luar negara dengan kebanyakan di Beijing, susulan rakyatnya kembali semula ke negara, termasuk pelajar yang belajar di luar negara.

Semalam, Beijing mengumumkan langkah-langkah dramatik membendung ketibaan asing ke negaranya, dengan mengurangkan bilangan penerbangan antarabangsa kepada hanya 75 peratus dan menguatkuasakan larangan pelancong asing memasuki China.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Menteri Luar dalam satu kenyataan berkata, warga asing yang berada di negaranya dengan visa sah dan pemegang permit penduduk tetap dilarang meninggalkan China bermula tengah malam ini.

“Ia adalah langkah sementara diambil China dalam membendung penularan virus pandemik itu,” katanya.

Diplomat dan kru penerbangan dan kapal laut asing bagaimanapun masih dibenarkan memasuki China. Susulan perintah larangan sama, hanya satu penerbangan dalam satu minggu untuk pesawat keluar masuk ke China, termasuk syarikat penerbangan antarabangsa.

Setakat ini, sebanyak 595 kes import dikesan dibawa ke China, kata pegawai kesihatannya.

Larangan lebih ketat sedia dikuat kuasa sekiranya ada gelombang baharu dilaporkan terus berlaku. Semua penerbangan yang berpusat di Beijing dialihkan ke bandar raya lain, dengan penumpang perlu menjalani saringan virus.

Penduduk Beijing dan Shanghai perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sebaik ketibaan mereka dari luar negara.

China mencatatkan kira-kira 1,100 penumpang daripada penerbangan antarabangsa bagi minggu ini.

Sementara itu, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, mengumumkan lima kematian dicatatkan hari ini di mana kesemuanya itu dari Hubei, wilayah yang mencetuskan penularan wabak.

Secara keseluruhan seramai 81,340 rakyat China dijangkiti dan mengorbankan 3,292 nyawa. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X