Selasa, 24 March 2020 | 12:16pm
Pekerja kilang automotif Dongfeng Honda di Wuhan, China mengamalkan penjarakan sosial semasa makan tengah hari. - Foto AFP
Pekerja kilang automotif Dongfeng Honda di Wuhan, China mengamalkan penjarakan sosial semasa makan tengah hari. - Foto AFP

COVID-19: Kes import dikhuatiri cetus gelombang kedua di China

BEIJING: China mencatatkan 78 kematian terkini akibat COVID-19, kebanyakannya dibawa dari luar negara, sekali gus meningkatkan kebimbangan tercetusnya gelombang kedua jangkitan negara ini.

Ini berikutan kes pertama dilaporkan di Wuhan, yang juga lokasi punca coronavirus itu, dalam tempoh seminggu ini diikuti tiga jangkitan rakyat tempatan di tempat lain di negara ini.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China berkata tujuh kematian yang dicatatkan itu kesemuanya adalah dari Wuhan.

Bagaimanapun, katanya, 74 kes lagi adalah jangkitan positif import yang diperoleh hingga hari ini.

“Dengan 74 kes import itu ia adalah yang tertinggi sejak pegawai mula melaporkan data pada awal bulan ini dan menjadi hampir dua kali ganda berbanding angka semalam (Isnin),” katanya.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, hampir semua jangkitan baharu yang direkodkan adalah dari luar China dan Beijing dilaporkan semakin cemas kerana berlaku peningkatan mendadak yang mungkin menjadikan keadaan tidak terkawal.

Di seluruh negara, pandemik COVID-19 membunuh lebih 16,000 orang, sementara kes import di China meningkat kepada 427 orang.

Kebanyakan bandar utama mewajibkan perintah kuarantin kepada ketibaan asing dan semua penerbangan keluar masuk dari Beijing dialihkan ke bandar lain di mana mereka melalui saringan kesihatan terlebih dulu bagi mengesan virus terbabit.

Agensi media tempatan turut melaporkan, amaran jangkitan gelombang kedua dengan tajuk muka depan Global Times, ‘Langkah kuarantin tidak mencukupi’.

Sehingga kini, China secara keseluruhan merekodkan 81,000 kes dan 3,277 kematian.

Dalam usaha China mengawal kes jangkitan import, Hubei mula menunjukkan tanda-tanda kembali kepada keadaan biasa, terutama Wuhan, selepas 54 juta penduduk Hubei diletakkan di bawah perintah berkurung sejak Januari lalu.

Sekatan perjalanan dan pekerjaan ke wilayah lain mula dibuka secara beransur-ansur manakala Presiden China, Xi Jinping, pada awal bulan ini mengadakan lawatan pertamanya sejak Wuhan dilanda wabak itu.

Penduduk Wuhan kini dianggap sihat dan dibenarkan bergerak dalam bandar serta menaiki pengangkutan awam jika mereka menunjukkan pengenalan diri masing-masing selain dibenarkan kembali bekerja jika mempunyai permit daripada majikan mereka. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X