Rabu, 18 March 2020 | 6:30pm

COVID-19: Peminat BTS tiru idola mereka kumpul derma

SEOUL: Meskipun konsert BTS di Seoul April ini dibatalkan berikutan penularan COVID-19, kumpulan peminat fanatik K-pop itu tetap berarak dalam kumpulan kecil untuk mengumpulkan derma untuk bantuan COVID-19 seperti dilakukan idola mereka.

“Apabila konsert dibatalkan, saya sangat sedih dan tidak masuk akal,” luah seorang peminat yang kecewa, Im Yu-mi, 19, yang duduk di kerusi yang dibaluti selimut BTS di dalam biliknya sambil memainkan muzik terbaru kumpulan itu.

Pembatalan konsert BTS mengecewakan seluruh peminat yang dikenali ARMY iaitu singkatan untuk Adorable Representative MC for Youth.

Konsert itu dijangka dihadiri lebih 200,000 peminat dalam rangka persembahan konsert pertama Map of the Soul Tour yang berlangsung di 18 bandar raya utama antaranya Los Angeles, Washington DC, London dan Tokyo.

Bagaimanapun konsert itu belum diputuskan dibatalkan, namun penularan COVID-19 secara global itu dijangka menjejaskan siri jelajah persembahannya.

Semalam, BTS mengumumkan jualan tiket untuk jelajah Eropah ditunda beberapa hari berikutan keadaan tidak menentu COVID-19.

Konsert berikut yang dijadualkan di Santa Clara, California pada 25 April tiada sebarang perubahan, menurut pengurusan BTS, Big Hit Entertainment.

BTS dianggotai tujuh remaja lelaki mempelopori muzik pop Korea hingga ke luar Asia sejak kemunculan sulung mereka pada 2013. Awal bulan ini, BTS mengeluarkan album baru Map of the Soul: 7 yang mendahului carta album Billboard 200m berikutan kejayaan tiga album sebelum ini.

Korea Selatan melaporkan 8,400 kes COVID-19 yang disahkan dengan 84 kematian. Minggu lalu, ramai peminat BTS memakai topeng muka berkumpul menyambut ulang tahun kelahiran anggota utama kumpulan itu, Suga di sebuah kafe yang didekorasi poster wajah beliau. Di pintu masuk, suhu diambil dan tangan disanitasi.

Suga berasal dari Daegu, bandar tertinggi dilanda COVID-19 mendermakan 100 juta won (AS$80,600) bagi membendung penularan virus, menurut Hope Bridge Korea Disaster Relief Association.

Kira-kira 11,000 peminatnya mendermakan lebih setengah bilion won, termasuk menyumbang bayaran balik tiket konsert April untuk misi bantuan barangan kepada yang memerlukan. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X