Ahad, 15 March 2020 | 7:13pm
ORANG ramai memakai topeng muka ketika ditemui di Shanghai. - Foto Reuters
ORANG ramai memakai topeng muka ketika ditemui di Shanghai. - Foto Reuters

20 kes import COVID-19 di China

BEIJING: China hari ini melaporkan 16 kes import baharu coronavirus, iaitu yang tertinggi dalam tempoh lebih seminggu, ketika kes domestik semakin berkurangan di negara itu.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan berkata, jangkitan dibawa individu dari luar negara itu dilaporkan di lima wilayah dan bandar termasuk Beijing serta Shanghai.

Hanya empat kes domestik baharu dikesan, semuanya di bandar Wuhan di wilayah Hubei, lokasi pertama kemunculan virus itu pada Disember tahun lalu.

Sebanyak 111 jangkitan asing direkodkan setakat ini, dengan wilayah di luar Hubei melaporkan tiada kes baharu membabitkan warga tempatan untuk hari ketiga berturut-turut.

Ia menimbulkan kebimbangan bahawa keberkesanan China menangani jangkitan itu di dalam negara ketika ini, mungkin terjejas dengan kemasukan wabak itu dari luar.

Seramai 10 lagi individu di Wuhan dilaporkan meninggal dunia, menjadikan mangsa yang maut akibat jangkitan coronavirus di China meningkat kepada 3,199 selain lebih 80,000 individu disahkan dijangkiti.

Hubei ditutup sepenuhnya pada Januari lalu dan kira-kira 56 juta penduduk dikuarantin, namun jumlah jangkitan semakin menurun sejak beberapa minggu ini.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Kesihatan Hubei, Liu Dongru, berkata pihak berkuasa wilayah Hubei semalam melonggarkan sekatan yang menghalang penduduknya meninggalkan kediaman masing-masing.

“Semua (pihak berkuasa) di kawasan bandar dan luar bandar yang diklasifikasikan sebagai kurang berisiko, membatalkan pengurusan penutupan,” katanya.

Beliau merujuk pada dasar sebelum ini yang mengenakan sekatan kemasukan terhadap masyarakat dari kawasan berbeza dan meneliti pergerakan penduduk. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X