Jumaat, 13 March 2020 | 8:22pm
Seorang bapa memakaikan topeng muka kepada anaknya sebelum memasuki pusat ujian COVID-19 di tapak Pesta Mishref di Kuwait. - Foto REUTERS
Seorang bapa memakaikan topeng muka kepada anaknya sebelum memasuki pusat ujian COVID-19 di tapak Pesta Mishref di Kuwait. - Foto REUTERS

Kuwait minta umat Islam sembahyang di rumah

DUBAI: Pihak berkuasa agama Kuwait meminta umat Islam supaya sembahyang di rumah dalam usaha negara Teluk mengekang penularan COVID-19.

Semalam, Bahrain mengarahkan pembebasan ratusan banduan di bawah proses pengampunan terbesar sejak 2011, berdasarkan laporan agensi berita rasmi.

Raja Hamad bin Isa Al Khalifa menitahkan 901 banduan diampunkan manakala 585 lagi akan menghabiskan baki hukuman di pusat pemulihan dan latihan dikendalikan kerajaan.

Berpuluh kes coronavirus disahkan di negara Teluk Arab dalam tempoh 24 jam lalu dengan Arab Saudi melaporkan 17 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan 62 kes.

Lebih 700 kes jangkitan dilaporkan hari ini di enam negara Majlis Kerjasama Arab tetapi tiada kematian setakat ini.

Pihak berkuasa berkata kebanyakan kes jangkitan membabitkan individu berkunjung ke Iran, punca kluster jangkitan di Asia Barat, yang kembali membawa jangkitan virus itu.

Iran hari ini mengumumkan 85 mangsa maut akibat coronavirus dalam tempoh 24 jam, angka terbesar dalam sehari setakat ini, menjadikan jumlah keseluruhan 514 kematian selain 11,364 kes jangkitan disahkan.

Antara mangsa terbaru ialah Ali Akbar Velayati iaitu penasihat dasar luar kepada pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Di ibu negara UAE, Abu Dhabi, Etihad Airways mengumumkan penggantungan penerbangan ke Rom dan Milan bermula esok, berikutan peningkatan kadar kematian di Itali melebihi 1,000 mangsa, yang terburuk di Eropah. - REUTERS

Berita Harian X