Jumaat, 13 March 2020 | 6:33pm
Petugas kesihatan memakai sut khas ketika membuat operasi pembersihan di wad ICU dekat Hospital Union Jiangbei, di Wuhan. - Foto Reuters
Petugas kesihatan memakai sut khas ketika membuat operasi pembersihan di wad ICU dekat Hospital Union Jiangbei, di Wuhan. - Foto Reuters

Penyebaran COVID-19 sudah berakhir - China

BEIJING: China semalam mengumumkan wabak coronavirus (COVID-19) sudah mencapai puncak penyebaran di republik itu, beberapa jam selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkannya sebagai pandemik.

Menurut seorang pakar respiratori terkenal China, penyakit berkenaan boleh dikawal sepenuhnya menjelang Jun nanti, jika semua negara mengambil pendekatan yang sama.

Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, Mi Feng, pada satu sidang media, berkata kes baharu di negara itu semakin menunjukkan pengurangan dan penularan keseluruhan kekal pada tahap rendah.

Menurutnya, jumlah kes yang disahkan positif di Wuhan, ibu negeri Hubei, susut kepada satu angka, dengan hanya lapan kes baharu dilaporkan Rabu lalu, manakala tujuh kes baharu dicatatkan di luar Hubei, termasuk enam dari luar negara.

Sementara itu, Penasihat Kanan Perubatan China, Zhong Nanshan, pada sidang media kelmarin, berkata kadar peningkatan kes baharu COVID-19 sudah susut.

“Sekiranya semua negara mengambil langkah membendung wabak ini secara serius, penularan boleh ditamatkan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Nasihat ialah semua negara harus mematuhi arahan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan melakukan langkah pencegahan pada peringkat kebangsaan.

“Jika semua negara menyelaras usaha bersepadu ini, wabak berkenaan boleh selesai menjelang Jun ini,” katanya.

Zhong, seorang pakar epidemiologi berusia 83 tahun, terkenal kerana peranannya dalam membendung penularan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003.

Beliau juga berkata, virus dalam keluarga yang sama itu menjadi kurang cergas dalam cuaca panas, sekali gus mengekang penularan wabak itu.

Wuhan mengesahkan kewujudan COVID-19 pada akhir Disember lalu, sebelum merebak dengan begitu pantas sehingga mencecah 15,000 kes sehari pada 12 Februari lalu.

Susulan penyebaran, perintah berkurung dilaksanakan ke atas beberapa bandar utama di negara itu, khususnya di wilayah Hubei.

Senario itu kembali pulih minggu ini, yang menyaksikan banyak wilayah mula menarik balik perintah darurat, manakala perniagaan kembali pulih seperti sebelumnya.

Hal sama turut berlaku di pintu masuk dan keluar China, apabila 87 peratus daripadanya kembali beroperasi mulai kelmarin. - AGENSI

Berita Harian X