Khamis, 12 March 2020 | 2:53pm

Askar AS, British antara 3 maut serangan di pangkalan udara

BAGHDAD: Masing-masing seorang askar Amerika Syarikat (AS) serta British, dan seorang kontraktor AS terbunuh, semalam, menurut pegawai AS, akibat serangan roket paling buruk dalam tempoh beberapa tahun ke atas sebuah pangkalan tentera Iraq yang menempatkan pasukan asing.

Dalam kejadian petang semalam, sebanyak 18 roket mengenai Pangkalan Udara Taji di utara Baghdad yang menempatkan tentera daripada gabungan diketuai AS yang membantu pasukan tempatan menentang kumpulan pejuang.

Menurut satu kenyataan gabungan itu, tiga personel maut dan 12 lagi cedera akibat serangan berkenaan, namun tidak memaklumkan kewarganegaraan mangsa terbabit.

Bagaimanapun, seorang pegawai AS memaklumkan kepada AFP bahawa mereka yang terkorban adalah dua warga AS dan seorang lagi British.

Tentera Iraq berkata, roket terbabit dilepaskan dari belakang sebuah trak, namun tidak memberi komen mengenai sebarang kecederaan atau kematian.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, dan Menteri Luar British, Dominic Raab, dalam satu perbualan telefon telah mengutuk serangan itu.

Menurut Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan, kedua-dua pemimpin itu menegaskan bahawa pihak terbabit dalam serangan berkenaan mesti dipertanggungjawabkan.

Walaupun tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, setakat ini, Washington telah menyalahkan rangkaian tentera Hashed al-Shaabi dari Iraq yang disokong Iran.

Dalam tempoh beberapa jam selepas serangan semalam, tiga pesawat pejuang yang didakwa berkemungkinan milik gabungan tentera diketuai AS, mengebom puak Hashed al-Shaabi di sempadan Syria dengan Iraq, menurut pemantau perang Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Ketua pemerhati itu, Rami Abdel Rahman, berkata sekurang-kurangnya 18 pejuang Iraq terbunuh ketika 10 letupan menggegarkan kawasan berhampiran Albukamal, sebuah bandar di sempadan Syria yang menempatkan ramai anggota Hashed al-Shaabi. - AFP

Berita Harian X