Rabu, 11 March 2020 | 7:11pm
Masjid Al Noor di Deans Avenue, Christchurch, New Zealand. - Foto REUTERS
Masjid Al Noor di Deans Avenue, Christchurch, New Zealand. - Foto REUTERS

Perkauman makin buruk selepas tragedi masjid Christchurch

WELLINGTON: Sikap perkauman di New Zealand semakin teruk setahun selepas tragedi di masjid Christchurch, di mana 51 umat Islam mati ditembak ketika menunaikan sembahyang Jumaat.

Beberapa hari sebelum ulang tahun pertama tragedi itu, satu mesej muncul di aplikasi pesanan Telegram menunjukkan seorang lelaki berpenutup muka di luar sebuah masjid yang diserang, berserta ugutan dan emoji senjata api.

Mesej itu adalah yang terbaru dalam beberapa siri ancaman terhadap golongan minoriti di New Zealand, menyusuli kes pembunuhan beramai-ramai di masjid oleh suspek radikal kulit putih pada 15 Mac tahun lalu.

Pakar jenayah menyifatkannya sebagai peningkatan jenayah kebencian atau xenophobia.

Penembak bersenjatakan senapang separa automatik itu menyerang umat Islam yang menghadiri solat Jumaat di bandar terbesar di Pulau Selatan, dan menyiarkan kejadian tembakan terburuk di New Zealand itu secara langsung melalui Facebook.

Warga Australia, Brenton Tarrant, yang menghadapi 92 pertuduhan berhubung serangan di masjid Al Noor dan Linwood, mengaku tidak bersalah dan akan dibicarakan Jun ini.

Rasa kasih sayang dan belas kasihan luar biasa ditunjukkan New Zealand yang diterajui Perdana Menteri, Jacinda Ardern, kepada masyarakat Islam sejurus selepas serangan itu.

Ardern dengan segera memperkenalkan undang-undang senjata yang baharu dan memulakan gerakan global untuk membuang rasa kebencian disebarkan secara dalam talian, yang mendapat pujian sebagai contoh kepada pemimpin lain.

Bagaimanapun, pemimpin, aktivis dan pakar Islam berkata serangan itu merangsang golongan nasionalis kanan dan kempen anti pendatang untuk menjadi lebih agresif termasuk secara secara dalam talian.

Wakil Majlis Wanita Islam di New Zealand, Anjum Rahman, berkata serangan itu sememangnya menggalakkan orang ramai yang mahu menyebarkan kebencian.

Beliau melaporkan ancaman terbaru terhadap masjid Al Noor itu kepada polis selepas ditunjukkan imej yang dikongsi di aplikasi media sosial, Telegram.

Polis berkata, seorang lelaki berusia 19 tahun yang enggan membantu polis dengan waran geledah berkaitan kejadian itu, akan dihadapkan ke mahkamah lewat bulan ini.

Laporan media tempatan mengaitkan lelaki itu kepada kumpulan nasionalis kulit putih dipanggil Action Zealandia, yang diwujudkan pada Julai 2019, hanya beberapa bulan selepas serangan masjid di Christchurch. - REUTERS

Berita Harian X