Selasa, 10 March 2020 | 8:05pm
Presiden China, Xi Jinping, diberi taklimat mengenai operasi Huoshenshan Hospital di Wuhan, ketika lawatan pertama beliau ke pusat punca wabak COVID-19. - Foto REUTERS
Presiden China, Xi Jinping, diberi taklimat mengenai operasi Huoshenshan Hospital di Wuhan, ketika lawatan pertama beliau ke pusat punca wabak COVID-19. - Foto REUTERS

COVID-19 dibendung di pusat wabak tercetus - Xi Jinping

BEIJING: Presiden China, Xi Jinping, hari ini mengisytiharkan penularan COVID-19 berjaya dibendung di pusat tercetusnya wabak itu di Wuhan dan Wilayah Hubei.

Katanya, kejayaan awal itu dicapai berikutan penstabilan keadaan di kawasan berkenaan sebelum membendung penularan coronavirus baharu itu.

Kenyataan beliau itu dilaporkan agensi berita rasmi Xinhua, selepas lawatan pertama pemimpin utama China itu ke bandar berkenaan sejak wabak bermula Januari lalu.

Sementara itu, Iran hari ini melaporkan 54 kematian akibat coronavirus, jumlah tertinggi dalam tempoh 24 jam sejak penularan wabak itu di negara terbabit.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Kianoush Jahanpour, berkata akgka itu meningkatkan jumlah kematian kepada 291 orang manakala jumlah yang dijangkiti meningkat kepada 8,042 berikutan 881 kes baharu.

Menteri Kesihatan Indonesia hari ini melaporkan lapan kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan 27 kes di negara itu.

Lubnan pula melaporkan kematian pertama akibat COVID-19 membabitkan pesakit yang dikuarantin selepas pulang dari Mesir.

Di Burkina Faso, kes pertama coronavirus dikesan apabila pasangan suami isteri yang kembali dari Perancis disahkan positif. Kira-kira 20 kes COVID-19 dilaporkan di benua Afrika dan Mesir setakat Ahad lalu

Pihak berkuasa Kesihatan Perancis pula melaporkan mangsa yang maut akibat wabak itu meningkat lima lagi kepada 30 orang dalam tempoh 24 jam lalu.

Pada peringkat global, kes jangkitan coronavirus mencecah 114,151 mangsa dengan 4,012 kematian merentasi 105 negara.

Semalam, China melaporkan 898 kes baharu dan 48 kematian, tidak termasuk di wilayah Hong Kong dan Macau, menjadikan jumlah keseluruhan 80,754 kes termasuk 3,136 kematian sejak wabak itu bermula akhir Disember lalu.

Setakakt semalam, 19 kes baharu dilaporkan dengan 17 kematian manakala 59,897 orang disahkan sembuh.

Di luar China, 33,397 kes direkodkan di seluruh dunia sejak Disember lalu, termasuk 876 kematian termasuk 877 kes jangkitan baharu dan 31 kematian terkini.

Negara paling terjejas selepas China ialah Itali (9,172 kes, 463 kematian), Korea Selatan (7,513 kes, 54 kematian), Iran (7,161 kes, 237 kematian) dan Perancis (1,412 kes, 25 kematian). - AGENSI

Berita Harian X