Isnin, 9 March 2020 | 12:12pm

Kes COVID-19 menurun, China tutup hospital sementara

BEIJING: China menutup sebahagian besar hospital sementara yang dibuka bagi merawat pesakit COVID-19 di pusat wabak berikutan penurunan bilangan kes baharu di negara ini.

Terdapat 40 kes baharu di seluruh negara, kata Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan pada Isnin, jumlah kes paling rendah sejak dilaporkan Januari.

Kebanyakan kes baharu serta 22 kematian baharu dicatatkan di Hubei, sekali gus jumlah kematian mencecah 3,119 kes.

Lebih 80,700 orang telah dijangkiti di tanah besar China.

Jangkitan baharu yang dilaporkan dari Hubei mencatatkan aliran menurun selama beberapa minggu.

Di Wuhan, hampir 31,000 pesakit telah pulih dan dibenarkan keluar hospital, kata wakil kerajaan wilayah.

Sebanyak 11 daripada 16 hospital sementara di Wuhan yang diubahsuai dari kemudahan awam termasuk stadium dan sekolah digantung pada Ahad, kata agensi berita rasmi Xinhua.

Dua hospital sementara yang terakhir dibuka, kini ditutup. Ia adalah pusat sukan yang diubahsuai dan kilang yang mempunyai kapasiti 2,000 pesakit pada satu masa.

Jangkitan baharu di China secara amnya merosot dalam beberapa minggu kebelakangan ini berikutan keberkesanan langkah drastik diambil republik itu.

Berita Harian X