Jumaat, 6 March 2020 | 9:15am
Seorang lelaki memakai topeng muka di Iran yang sedang bergelut dengan penularan wabak COVID-19. - AFP
Seorang lelaki memakai topeng muka di Iran yang sedang bergelut dengan penularan wabak COVID-19. - AFP

Tindakan Iran tingkatkan jangkitan COVID-19 - Arab Saudi

RIYADH: Kerajaan Arab Saudi dalam satu kenyataan, semalam, mengecam tindakan Iran membenarkan rakyatnya memasuki negara itu yang sedang dilanda wabak COVID-19.

Malah, Arab Saudi turut mendesak Iran untuk mendedahkan identiti semua warganya yang berkunjung ke negara berkenaan sejak awal bulan lalu.

Selain itu, kenyataan berkenaan yang memetik seorang pegawai tidak dinamakan, menggesa rakyat Arab Saudi yang sedang berada di Iran ataupun sudah pulang, baru-baru ini, supaya melaporkan perjalanan mereka.

Mereka dijanjikan sekiranya melakukan sedemikian dalam tempoh 48 jam, individu terbabit tidak akan dikenakan undang-undang larangan perjalanan ke Iran.

Arab Saudi melaporkan lima kes COVID-19, setakat ini, membabitkan empat rakyatnya yang mengunjungi Iran melalui Bahrain atau Kuwait, baru-baru ini, namun tidak mendedahkan butiran perjalanan mereka.

Pesakit kelima pula ialah isteri seorang daripada mereka.

“Tindakan itu membuktikan Iran bertanggungjawab secara langsung dalam meningkatkan jangkitan COVID-19 dan wabak berkenaan di seluruh dunia,” menurut kenyataan terbabit.

Iran yang menjadi pusat penularan virus itu di Asia Barat, telah melaporkan 107 kematian, sekali gus meletakkannya sebaris dengan Itali yang mencatat angka korban tertinggi di luar China di mana wabak berkenaan tercetus.

Iran menempatkan beberapa lokasi suci dan ziarah penting bagi golongan Syiah yang merupakan penduduk minoriti di Arab Saudi. - REUTERS

Berita Harian X