Sabtu, 29 Februari 2020 | 1:56pm
Arab Saudi melarang rakyat daripada GCC untuk memasuki Makkah dan Madinah susulan kebimbangan terhadap penularan COVID-19. - AFP
Arab Saudi melarang rakyat daripada GCC untuk memasuki Makkah dan Madinah susulan kebimbangan terhadap penularan COVID-19. - AFP

COVID-19: Rakyat GCC dilarang masuk Makkah, Madinah

RIYADH: Arab Saudi semalam melarang rakyat dari negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) untuk memasuki Makkah dan Madinah susulan kebimbangan terhadap penularan COVID-19.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan mengumumkan ‘penggantungan sementara kemasukan rakyat (GCC) ke Makkah dan Madinah’.

Keputusan itu menyusul sehari selepas Arab Saudi menggantung sementara visa umrah, iaitu langkah belum pernah diambil sebelum ini yang memberi kesan terhadap puluhan ribu jemaah di seluruh dunia.

Negara anggota GCC meliputi Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Kuwait, Oman dan Qatar.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada penggantungan sementara kemasukan berkenaan turut membabitkan rakyat Arab Saudi.

Namun, kementerian itu memaklumkan, keputusan berkenaan tidak merangkumi ‘rakyat GCC yang sudah berada di Arab Saudi selama 14 hari berturut-turut dan tiada menunjukkan tanda jangkitan coronavirus’.

Setakat ini, tiada kes COVID-19 dilaporkan di Arab Saudi, namun kebimbangan kian meningkat berikutan lonjakan bilangan jangkitan di Asia Barat, termasuk di negara jiran seperti Kuwait, Bahrain dan UAE.

Rakyat GCC dibenarkan memasuki Arab Saudi dengan menggunakan dokumen pengenalan rasmi mereka.

Namun pada Khamis lalu, Kerajaan Arab Saudi memaklumkan, mereka kini hanya boleh masuk menggunakan pasport.

Media Arab Saudi melaporkan, langkah itu bertujuan menyemak sejarah perjalanan rakyat GCC, termasuk sebarang lawatan baru-baru ini ke negara yang mempunyai kes COVID-19.

Khamis lalu, negara itu turut menggantung visa untuk pelancong dari negara yang terjejas dengan virus berkenaan.

Media negara ini melaporkan, secara khusus, visa pelancong elektronik digantung bagi ketibaan dari tujuh negara, termasuk China, Itali, Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan.

Arab Saudi menjelaskan, penggantungan berkenaan hanya sementara tetapi tidak memberikan jangka masa terbabit.

Langkah itu sekali gus mencetuskan ketidaktentuan berhubung musim haji yang dijadualkan pada Julai depan.

“Kerajaan Arab Saudi... terus mengikuti dengan rapat perkembangan mengenai penularan serta kesan virus itu, dan langkah berjaga-jaga diteliti berdasarkan sebarang perkembangan baharu,” menurut kenyataan Kementerian Luar.

Kehadiran jemaah di Makkah dan Madinah adalah sumber pendapatan penting kepada Kerajaan Arab Saudi yang menyasarkan untuk menarik kedatangan 30 juta jemaah setahun menjelang 2030. - AFP

Berita Harian X