Sabtu, 29 Februari 2020 | 11:29am
Seorang jururawat memeriksa pesakit di unit rawatan rapi bagi pesakit COVID-19 di sebuah hospital di Wuhan. - AFP
Seorang jururawat memeriksa pesakit di unit rawatan rapi bagi pesakit COVID-19 di sebuah hospital di Wuhan. - AFP

COVID-19: 47 lagi kematian di China

BEIJING: China melaporkan 47 lagi kematian akibat COVID-19, hari ini, sekali gus meningkatkan jumlah korban virus itu kepada 2,835 mangsa.

Masing-masing seorang pesakit meninggal dunia di Beijing dan wilayah Henan, manakala 45 lagi di Hubei.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan juga merekodkan 427 kes baharu, meningkat berbanding hari sebelumnya, menjadikan angka jangkitan kini mencecah 79,251.

Empat daripada kes baharu itu berlaku di Hubei, sementara 420 pula di Wuhan di mana virus berkenaan dipercayai tercetus dari sebuah pasar menjual haiwan liar.

Walaupun bilangan kes baharu meningkat berbanding 327 semalam, ia tetap jauh lebih rendah daripada angka harian dicatatkan China lebih 10 hari lalu.

Awal minggu ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa kini lebih banyak kes harian dilaporkan di negara lain berbanding China.

China telah meletakkan 56 juta penduduk di Hubei bawah kuarantin ketat selama lebih sebulan, setakat ini, serta mengehadkan perhimpunan awam di seluruh negara dalam usaha mengekang penularan virus itu.

Menurut pihak berkuasa, usaha memerangi COVID-19 mulai membuahkan hasil tetapi pelaksanaan langkah diteruskan, termasuk penutupan sekolah, manakala perniagaan secara perlahan-lahan beroperasi semula. - AFP

Berita Harian X