Khamis, 27 Februari 2020 | 1:01pm
Seorang lelaki memakai topeng muka, menunggang basikal di kawasan kompleks beli-belah di Wuhan. - REUTERS
Seorang lelaki memakai topeng muka, menunggang basikal di kawasan kompleks beli-belah di Wuhan. - REUTERS

Banduan dijangkiti coronavirus dibebaskan, mengembara

BEIJING: China menghantar pasukan penyiasat ke Wuhan susulan laporan bahawa sebuah penjara membebaskan seorang banduan yang dijangkiti coronavirus dan kemudian mengembara ke Beijing.

Suruhanjaya Hal Ehwal Perundangan dan Politik Pusat, Parti Komunis China, dalam satu kenyataan media, hari ini, berkata pasukan itu yang diketuai oleh Kementerian Kehakiman, Mahkamah Agung serta Kementerian Keselamatan Awam, akan meneliti insiden berkenaan.

Media melaporkan seorang banduan yang dijangkiti virus itu, dibebaskan dari sebuah penjara wanita di Wuhan selepas tamat menjalani hukumannya. Ahli keluarga wanita itu kemudian menghantarnya ke Beijing.

Laporan terbabit mencetuskan kekecohan dengan warganet mempersoalkan bagaimana wanita itu keluar dari bandar berkenaan yang sudah dikenakan perintah berkurung sejak lebih sebulan lalu.

Seorang pegawai penjara di wilayah Hubei memberitahu The Beijing News, semalam, bahawa banduan itu dibebaskan mengikut undang-undang. Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) Beijing mengesahkan wanita itu dijangkiti virus SARS-Cov-2.

Wanita itu yang bernama Huang, kini dikuarantin bersama tiga ahli keluarganya, kata pegawai kesihatan di Beijing, semalam. Dia adalah salah seorang daripada lebih 300 banduan di penjara itu yang dijangkiti virus berkenaan.

Pengawasan untuk mengekang virus di penjara seluruh negara ini dipertingkatkan selepas kes berkenaan dikesan.

Timbalan Menteri Kehakiman, Xiong Xuanguo, semalam memberitahu pemberita bahawa penguatkuasaan undang-undang tempatan dipersalahkan dalam perkara itu, dengan terdapat ‘jurang’ dalam kerja kawalan dan pencegahan mereka.

Hubei menyemak semula angka harian jangkitan baharu di wilayah itu, minggu lalu, selepas gagal memasukkan lebih 200 kes daripada penjara, sekali gus mencetuskan keraguan terhadap ketepatan datanya.

Semalam, Ketua Parti Komunis di wilayah Hubei, Ying Yong, meminta pegawai untuk meningkatkan langkah kawalan virus di penjara, pusat tahanan, pusat pemulihan dadah dan kemudahan awam lain. - REUTERS

Berita Harian X