Isnin, 24 Februari 2020 | 1:19pm

COVID-19: Pakar WHO lawat Wuhan

BEIJING: Pakar daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah melawat Wuhan yang dikenakan perintah berkurung akibat penularan wabak COVID-19, kata pihak berkuasa China, hari ini.

Lawatan pada hujung minggu itu adalah kunjungan pertama dilaporkan daripada WHO sejak virus berkenaan tercetus di bandar terbabit yang mempunyai 11 juta penduduk, akhir tahun lalu.

COVID-19 yang disyaki mula menjangkiti manusia daripada haiwan di sebuah pasar di Wuhan, sudahpun meragut lebih 2,500 nyawa di seluruh China dan menular ke negara lain.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, dalam lawatan berkenaan, kumpulan pakar antarabangsa diketuai WHO itu memeriksa dua hospital, termasuk sebuah hospital sementara di pusat sukan.

Mereka juga mengadakan pertemuan dengan Pengarah suruhanjaya itu, Ma Xiaowei, di pusat kawalan penyakit bagi wilayah Hubei.

Wuhan mencatatkan 348 daripada sejumlah 409 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan di China, hari ini.

Setakat ini, lebih 77,000 kes COVID-19 disahkan di China.

Sebelum ini, suruhanjaya itu berkata, pasukan WHO tiba di China lebih seminggu lalu untuk memerhatikan usaha penyelidikan dan ujian, bagi membolehkan mereka membantu dengan memberi cadangan dalam melawan epidemik berkenaan. - AFP

Berita Harian X