Ahad, 23 Februari 2020 | 7:20am
 Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. Foto fail
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. Foto fail

Sidang kemuncak mengenai Syria 5 Mac ini - Erdogan

ISTANBUL: Turki akan menganjurkan sidang kemuncak bersama pemimpin Russia, Perancis dan Jerman pada 5 Mac ini bagi membincangkan konflik di Syria.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, bagaimanapun tidak menjelaskan lokasi penganjuran sidang kemuncak berkenaan.

“Kami akan duduk bersama pada 5 Mac ini dan akan membincangkan isu ini (konflik Syria),” katanya ketika berucap di hadapan penyokong partinya seperti yang disiarkan stesen televisyen tempatan.

Media sebelum ini melaporkan Erdogan mengadakan perbualan telefon bersama Presiden Russia, Vladimir Putin dan telesidang bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron serta Canselor Jerman, Angela Merkel.

Dalam perbualan itu, semua pemimpin terbabit menyuarakan kebimbangan mereka berhubung peningkatan keganasan dan krisis kemanusiaan di Syria.

Sementara itu, walaupun lokasi penganjuran sidang kemuncak masih belum ditetapkan, Erdogan ketika ditemui pemberita mengesahkan Macron dan Merkel mencadangkan supaya ia diadakan di Istanbul, manakala Putin belum memberi maklum balas. - AFP

Berita Harian X