Sabtu, 22 Februari 2020 | 2:35pm

Wanita positif COVID-19 tanpa sebarang gejala dijangkiti virus maut

BEIJING: Seorang wanita berusia 20 tahun dari Wuhan mengembara sejauh 675 kilometer ke Anyang dan menjangkiti lima ahli keluarganya tanpa menunjukkan sebarang gejala dijangkiti COVID-19.

Saintis China melaporkan, bukti baharu yang diperoleh itu menunjukkan virus terbabit boleh merebak tanpa sebarang gejala dihidapi pesakit.

Kajian yang disiarkan dalam Jurnal Persatuan Perubatan Amerika, memberikan petunjuk bagaimana virus terbabit boleh merebak dan kenapa ia sukar dibendung.

“Saintis mempersoalkan bagaimana anda boleh dijangkiti tidak menunjukkan sebarang gejala. Jawapannya adalah ya,” kata pakar penyakit berjangkit Pusat Perubatan Universiti Vanderbilt, Dr William Schaffner.

Beliau bagaimanapun tidak terbabit dalam penghasilan jurnal berkenaan.

Schaffner berkata, penyelidik melaporkan beberapa kes membabitkan individu yang tidak mengalami gejala COVID-19 tetapi menyebarkan virus terbabit.

“Ada seorang pesakit dari Wuhan, lokasi utama penyebaran virus, mengembara ke lokasi yang tidak dijangkiti. Mangsa tidak menunjukkan sebarang gejala tetapi menjangkiti ahli keluarga lain,” katanya.

Menurut laporan Dr Meiyun Wang dari Hospital Universiti Zhengzhou, wanita terbabit mengembara dari Wuhan ke Anyang pada 10 Januari lalu dan melawat beberapa saudaranya.

Apabila ahli keluarganya menunjukkan gejala sakit, doktor mengasingkan wanita terbabit namun ujian awal COVID-19 terhadapnya adalah negatif.

Bagaimanapun, ujian susulan yang dilakukan kemudian mendapati mangsa positif COVID-19. - REUTERS

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X