Sabtu, 22 Februari 2020 | 10:04am

COVID-19: Angka kematian cecah 2,345 orang

BEIJING: Sebanyak 109 kes kematian dicatatkan di China semalam, menjadikan kes kematian setakat ini mencecah 2,345 orang sejak wabak coronavirus tercetus di wilayah Hubei, Disember lalu.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan hari ini menjelaskan sebanyak 397 kes baharu dilaporkan semalam di seluruh negara itu.

Kes baharu itu menjadikan jumlah jangkitan di China meningkat kepada 76,288 kes.

Jumlah kes baharu di seluruh negara untuk 19 Februari telah disemak semula sehingga 820 kes berbanding 394 yang dilaporkan sebelum ini, menurut suruhanjaya berkenaan.

Ia juga diselaraskan ke atas jumlah kes yang disahkan untuk 20 Februari dengan lebih 400 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 75,891 kes.

Keputusan untuk meminda data kes di wilayah Hubei, yang diumumkan pada Jumaat oleh pihak berkuasa tempatan, adalah yang terbaru dalam beberapa perubahan dibuat kepada kaedah pengiraan kes.

Minggu lalu, pegawai kesihatan China menjelaskan pesakit dari Hubei didiagnosis melalui kaedah klinikal termasuk pengimejan paru-paru.

Bagaimanapun pada Khamis lalu, pegawai Hubei menolak keputusan itu dengan mengurangkan 279 kes, sebelum diarahkan untuk menambah semula jumlah itu pada keesokan harinya. - AFP

Berita Harian X