Khamis, 20 Februari 2020 | 9:12pm

India keluar lesen import 1.1 juta minyak sawit bertapis Indonesia

MUMBAI: India keluarkan lesen import untuk 1.1 juta tan minyak sawit bertapis dari Indonesia, menurut sumber kerajaan dan perdagangan.

Difahamkan, langkah itu mengejutkan industri sawit kerana sebelum ini India dilaporkan menyekat sama sekali import komoditi itu.

Tindakan menyambung semula pembelian minyak sawit bertapis oleh India, yang juga pengimport terbesar, dilihat mampu melonjak kadar import, sekali gus menyokong pasaran minyak sawit Malaysia.

Pada 8 Januari lalu, India menyenaraikan minyak sawit sebagai barang terhad susulan tindak balas terhadap pembekal utama iaitu Malaysia, yang mengkritik tindakan negara itu di Kashmir dan penggubalan undang-undang kewarganegaraan.

Kelonggaran itu mendorong pedagang mendapatkan izin daripada Direktorat Awam Perdagangan Luar Negara (DGFT) untuk memohon lesen import minyak sawit bertapis.

Bahagian Kementerian Perdagangan dilaporkan menerima lebih 100 permohonan untuk mendapatkan lesen.

Sumber membabitkan pegawai kerajaan dan tiga pedagang memberitahu, DGFT mengeluarkan lesen import untuk 1.1 juta tan minyak sawit bertapis kepada peniaga berdasarkan permohonan mereka.

Menurut sumber yang juga pegawai kerajaan, New Delhi memberi kebenaran untuk mengimport minyak sawit bertapis hanya dari Indonesia.

Seorang pedagang yang menerima lesen itu berkata, dalam permohonan berkenaan, mereka dikehendaki menyebut negara asal dan semua meletakkan Indonesia sebagai negara sumber.

India mengimport 9.4 juta tan minyak sawit pada 31 Oktober lalu termasuk 2.72 juta tan minyak sawit bertapis.

Minyak sawit membentuk hampir dua pertiga daripada jumlah minyak makan di India, yang membeli minyak sawit terutamanya dari Indonesia dan Malaysia selaku pengeluar terbesar dunia. - REUTERS

Berita Harian X