Khamis, 20 Februari 2020 | 3:10pm
KAKITANGAN perubatan merawat pesakit di Hospital Fangcai yang dibina sementara di sebuah stadium sukan di Wuhan. - Foto AFP
KAKITANGAN perubatan merawat pesakit di Hospital Fangcai yang dibina sementara di sebuah stadium sukan di Wuhan. - Foto AFP

COVID-19: China lapor penurunan besar kes baharu

BEIJING: China melaporkan penurunan besar bilangan kes baharu COVID-19, hari ini, sekali gus meningkatkan harapan bahawa epidemik itu sedang menghampiri kemuncaknya.

Jumlah korban di China akibat wabak itu mencecah 2,118 dengan kematian 114 lagi mangsa, namun pegawai kesihatan melaporkan angka terendah kes baharu dalam tempoh hampir sebulan, termasuk di Hubei yang paling teruk terkesan.

Lebih 74,000 orang dijangkiti virus berkenaan di China dan ratusan lagi di 25 negara lain, dengan Iran melaporkan dua kematian pertama di Asia Barat.

Seorang pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengambil maklum perkembangan di China itu, namun memberi amaran bahawa ia masih belum mencapai titik peralihan.

Pegawai di China pula berkata, usaha drastik yang dilakukan untuk mengekang penularan virus itu, termasuk kuarantin puluhan juta penduduk di Hubei dan menyekat pergerakan di bandar lain negara ini, mula memberikan kesan.

“Selepas melaksanakan usaha yang sukar, keadaan berubah menjadi semakin baik,” kata Menteri Luar China, Wang Yi, pada mesyuarat dengan rakan sejawat dari Asia Tenggara di Laos, semalam, menurut laporan agensi berita rasmi Xinhua.

Lebih 600 jangkitan baharu dilaporkan di Wuhan - angka harian terendah sejak hujung bulan lalu dengan mencatatkan penurunan besar berbanding 1,749 kes baharu pada hari sebelumnya.

Malah, angka kebangsaan turut merekodkan penurunan selama tiga hari berturut-turut. - AFP

Berita Harian X