Rabu, 19 Februari 2020 | 1:10pm
Doktor sedang merawat pesakit COVID-19 di Hospital Palang Merah Wuhan di Hubei. - Foto AFP
Doktor sedang merawat pesakit COVID-19 di Hospital Palang Merah Wuhan di Hubei. - Foto AFP

COVID-19: Pesakit sembuh lebih ramai berbanding kes baharu

BEIJING: Kadar pesakit COVID-19 yang sembuh di China buat pertama kali melebihi jumlah pesakit baharu yang disahkan positif.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan melaporkan, 1,824 pesakit dibenarkan keluar hospital semalam selepas disahkan sembuh dan pada masa sama, kes baharu yang disahkan ialah 1,749 orang.

Sejumlah 14,376 pesakit disahkan dijangkiti virus itu sudah sembuh dan dibenarkan keluar hospital setakat semalam.

Kadar kes harian yang disahkan positif di luar Hubei, lokasi punca wabak terbabit juga menunjukkan trend berkurangan selama 15 hari berturut-turut sejak 3 Februari lalu dengan 56 kes dilaporkan semalam.

Suruhanjaya itu juga menerima laporan 136 kematian semalam termasuk 132 di Hubei dan masing-masing satu di Heilongjiang, Shandong, Guangdong dan Guizhou.

Selain itu, Hubei semalam turut menyaksikan 1,693 kes baharu yang disahkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang disahkan kepada 61,682 orang.

Di wilayah yang sama, 1,266 pesakit dibenarkan keluar hospital semalam selepas sembuh, menjadi jumlah mereka yang sembuh daripada jangkitan Covid-19 seramai 9,128.

Dalam kalangan 43,471 yang dimasukkan ke hospital di Hubei, 9,289 masih dalam keadaan kronik dan 1,957 lagi berada dalam keadaan kritikal.

Sejumlah 1,185 lagi kes baharu disyaki COVID-19 dilaporkan semalam manakala keadaan 236 pesakit bertambah serius.

Secara keseluruhan, jangkita kes COVID-19 yang disahkan di China mencecah 74,185 orang setakat semalam selain 2,004 orang maut akibat virus itu.

Tambah suruhanjaya itu, 11,977 pesakit kekal dalam keadaan serius manakala 5,248 orang disyaki dijangkiti virus itu.

Setakat ini, 574,418 orang yang berhubungan rapat dengan mangsa sudah dikesan, yang mana 25,014 dibenar meninggalkan pusat pemantauan, yang masih memantau kesihatan 135,881 pesakit lain.

Menjelang lewat semalam, 62 kematian disahkan termasuk satu di Hong Kong, 10 kes disahkan di Macau dan 22 termasuk satu kematian di Taiwan.

Empat pesakit di Hong Kong, lima di Macau dan dua di Taiwan sudah dibenarkan keluar hospital selepas disahkan sembuh. - AGENSI

Berita Harian X