Isnin, 17 Februari 2020 | 4:05pm
KAPAL persiaran Diamond Princess yang tercemar dengan COVID-19 di pelabuhan Yokohama, Jepun. - Foto REUTERS
KAPAL persiaran Diamond Princess yang tercemar dengan COVID-19 di pelabuhan Yokohama, Jepun. - Foto REUTERS

Australia akan pindahkan 200 rakyatnya dari Diamond Princess

SYDNEY : Australia akan memindahkan lebih 200 rakyatnya dari kapal persiaran yang tercemar dengan COVID-19 di pelabuhan Yokohama, Jepun, kata Perdana Menteri Scott Morrison hari ini.

Menurut Morrison, kesemua penumpang berkenaan akan dipindahkan pada Rabu dan dibawa ke utara perairan Australia untuk dikuarantin selama 14 hari lagi.

Kapal persiaran Diamond Princess yang dimiliki Carnival Corp itu dikuarantin sejak tiba di Yokohama pada 3 Februari, selepas seorang lelaki yang turun di Hong Kong sebelum ia meneruskan perjalanan ke Jepun positif dijangkiti virus berkenaan.

Lebih 350 penumpang yang menaiki kapal berkenaan turut positif dijangkiti COVID-19, termasuk 24 rakyat Australia.

“Untuk lebih daripada 200 penduduk yang akan kembali ke Australia, kami akan melaksanakan tempoh kuarantin selama 14 hari lagi sebaik mereka tiba di Darwin,” kata Morrison kepada media di Melbourne.

Beliau juga memberitahu, sejumlah tempat dalam pesawat milik Qantas Airlines akan diperuntukkan kepada rakyat New Zealand yang turut menaiki kapal persiaran terbabit.

“Kesemua rakyat New Zealand itu akan dihantar pulang ke negara mereka sebaik tiba di Darwin,” katanya.

Walaupun penumpang menghabiskan masa selama dua minggu di dalam kabin masing-masing, pihak berkuasa kesihatan Australia menegaskan, tempoh kuarantin selama 14 hari masih perlu dilakukan.

“Kita tidak boleh mengambil sebarang risiko memandangkan kapal itu memiliki rekod jangkitan COVID-19, dan kita tidak dapat memastikan apakah penduduk Australia yang akan tiba nanti bebas sepenuhnya daripada virus berkenaan,” kata ketua perubatan Australia, Brendan Murphy.

Amerika Syarikat (AS) semalam bertindak mengeluarkan kira-kira 400 rakyatnya dari Diamond Princess dan ia diikuti oleh Itali, Kanada, Korea Selatan dan Hong Kong yang turut mengumumkan perancangan untuk berbuat demikian. - REUTERS

Berita Harian X