Ahad, 16 Februari 2020 | 9:46am
KEDUTAAN Amerika Syarikat (AS) di Baghdad. - Foto AFP
KEDUTAAN Amerika Syarikat (AS) di Baghdad. - Foto AFP

Bedilan roket berhampiran kedutaan AS di Baghdad

BAGHDAD: Beberapa roket dilancarkan ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara Iraq awal hari ini, menjadikan serangan ke-19 ke atas aset AS di negara ini, kata sumber ketenteraan AS.

Serangan itu mencetuskan amaran di kawasan diplomatik yang memiliki kawalan keselamatan yang tinggi, namun tiada maklumat kesan ledakan itu serta kemusnahannya, kata sumber kepada AFP.

Tiada kematian dilaporkan.

Wartawan AFP turut mendengar beberapa ledakan kuat, diikuti pesawat terbang mengelilingi Zon Hijau, kawasan keselamatan tinggi yang menempatkan kedutaan AS.

Serangan roket itu adalah serangan ke-19 sejak Oktober yang menyasarkan sama ada kedutaan atau kira-kira 5,200 lokasi pasukan AS ditempatkan bersama pasukan ketenteraan tempatan di seluruh Iraq.

Sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab, namun AS mendakwa serangan itu dilakukan Hashed al-Shaabi, kumpulan yang disokong Iran.

Pada akhir Disember, serangan roket di pangkalan utara Iraq menyebabkan kematian seorang warga AS dan mencetuskan siri serangan berterusan.

Washington bertindak balas dengan serangan terhadap Hashed di barat Iraq dan beberapa hari kemudian, serangan dron AS di Baghdad membunuh pemimpin Iran, Qasem Soleimani dan orang kanannya, timbalan ketua Hashed, Abu Mahdi al-Muhandis.

Hashed berikrar untuk membalas dendam ke atas kematian dua pemimpin itu sekali gus mendesak pasukan ketenteraan AS segera meninggalkan Iraq.

Serangan terkini hari ini berlaku hanya beberapa jam selepas satu puak didukung Hashed, Harakat al-Nujaba mengumumkan untuk menggulingkan tentera AS dari negara itu.

Berita Harian X